Thursday, October 24, 2013

Cerpen: Cinta Astakona

Ufuk langit semakin merah. Saif Ali Al-Syirazi mempercepatkan langkah. Dia mencelah-celah di sela orang ramai yang masing-masing deras melangkah. Sepanjang masa, wajah ibu kota tiada bezanya. Tiada pernah lengang dengan kehadiran orang! Kereta yang lalu-lalang juga silih berganti datang dan pergi. Keadaan trafik menjadi sesak di saat waktu prima sebegini. Mujur ada beberapa orang aggota polis trafik yang mengawal keadaan lalu lintas.

‘Sempatkah aku sampai ke destinasi ini?’ detik hati Saif Ali Al-Syirazi. Tangannya menyambar laju memetik punat besar yang ada di tiang lampu isyarat. Dalam masa yang sama, dia mengerling ke arah jam yang terikat di pergelangan tangan kirinya.

Kereta mula berhenti. Orang ramai yang sedari tadi menunggu di birai jalan mula melangkah merentasi Jalan Sultan ke arah yang bertentangan. Saif Ali Al-Syirazi melangkah ke arah sebuah bangunan. Pasaraya itu berdiri megah menjadi mercu tanda ibu kota. Pada tingkat yang paling atas, tertera tulisan ‘Plaza Kotaraya’ yang diperbuat daripada lampu neon.

Saif Ali Al-Syirazi memandang kiri dan kanan. Dia mencari sesuatu. Di situ, ada beberapa buah bas berwarna merah yang sudah siap sedia menunggu. “Manalah bas intrakota ini?” keluhnya perlahan. Matanya mengerling jam tangan. Jarumnya sudah pun menunjukkan jam 6.40 petang.

Sementara menunggu kedatangan bas, Saif Ali Al-Syirazi mencari-cari tempat untuk melabuhkan punggung. Dipandangnya ke kanan, “Wah, di warung starbuck itu ada kipas yang dilengkapi pemancar air. Petang-petang di yang panas begini, badan pasti terasa segar jika dapat duduk di hadapan kipas sebegitu. Pasti terasa bagaikan dihembus angina bayu.” Detik hatinya. Namun, niatnya itu tidak diteruskan. Takut pula tergoda iman! Maklumlah, petang-petang begini, ramai pula non-Muslim yang melepaskan penat seharian bekerja di situ. Lagipun, “takut pula terlepas bas nanti,” hati kecilnya berbisik memujuk rasa.

Sedang dia membetulkan duduknya di atas binaan yang ada di kaki lima pasaraya itu, pandangan matanya dicuri oleh kelibat seorang anak kecil. Barangkali, pada pandangan Saif Ali Al-Syirazi, usia kanak-kanak itu sekitar sepuluh tahun. Dia pergi berpapasan dan bertemu setiap orang sambil membawa barang, “Assalamualaikum kak, mahu beli buku?” soalnya sambil menungjukkan beberapa buah naskah pelbagai judul kepada bakal pembelinya. Dalam dakapannya, ada beberapa naskah lagi yang digendong ke sana ke mari.

Kakak yang bertudung tiga segi itu tidak melayan kehadirannya. Malah, kakak tersebut hanya menoleh ke arah kanak-kanak tersebut, dan kembali berbual-bual dengan rakan-rakannya. Lama kanak-kanak itu berdiri dan berjumpa dengan beberapa orang yang ada di kawasan itu. Walau apa pun reaksi manusia yang dihadapinya, dia tetap tabah menawarkan buku-buku yang dibawanya. Saif Ali Al-Syirazi hanya memerhati dan terus memerhati.

Seketika kemudian, kanak-kanak itu pun menghampirinya. Sapa kanak-kanak itu, “Assalamualaikum abang, mahu beli buku?”

“Wa’alaikumussalam.” Saif Ali Al-Syirazi hanya melemparkan senyum. Melihat wajah anak-anak itu, Saif Ali Al-Syirazi berasa sangat kasihan. Namun, apakan daya. “Abang juga sepertimu adik, tiada punya apa-apa.” Hatinya merintih.

“Adik puasa hari ini?” soal Saif Ali Al-Syirazi mengubah topik bicara.

“Puasa.”

“Masa berbuka sudah hampir ini. Adik berbuka di mana?”

“Saya tidak kisah. Di mana-mana pun boleh.”

Allah. Hati Saif Ali Al-Syirazi semakin sayu. Diusap-usapnya ubun-ubun anak kecil itu. Seketika kemudian, dia menyeluk kocek seluarnya. Terasa ada beberapa keeping syiling. Justeru, digenggam ke semuanya dan dihulurkan kepada kanak-kanak yang sedari tadi berdiri di hadapannya itu. Entah berapa jumlahnya, hanya Allah jualah yang Maha Mengetahui.

Dalam leka bersama kanak-kanak itu, bas intrakota berwarna kelabu dan biru yang dinanti-nanti pun tiba. “Maafkan abang, ya adik. Bas abang sudah sampai. Abang terpaksa pergi.”

“Baiklah abang. Terima kasih atas rezeki ini.” Ujarnya kemudian.

Saif Ali Al-Syirazi melangkah naik ke atas bas yang bernombor 21C itu. “Mahu ke mana, adik?” Tanya pemandu bas.

“Taman Tun Dr Ismail.” Ujarnya ringkas.

“Seringgit enam puluh sen, ya?”

Di dalam bas, azan berkumandang menandakan masuknya waktu solat fardhu Maghrib. “Alhamdulillah, mujur ada slurpee. Jadilah. Ini sudah memadai sebagai juadah berbuka puasa hari ini.” Hatinya berbisik.

***

Usai solat tarawikh di Masjid Al-Ghufran, Saif Ali Al-Syirazi menyapa seorang temannya, “Awal engkau pulang ke asrama, Mikail?

Mereka berjabat tangan. Mikail menjawab, “Aku seperti biasa, cuti pendek begini, malas pula mahu pulang ke Melaka. Jadi, aku duduk di rumah Ustaz Bushra sahajalah.”

“Untunglah engkau! Menjadi adik ipar pengetua ini dapatlah menumpang jika sesak,” usik Saif Ali Al-Syirazi. Mereka berdua ketawa berdekah-dekah.

Namun, entah datang dari mana, sosok tubuh ustaz Bushra menjelma di depan mata. “Assalamualaikum.” Sapanya. Kemudian, dia menyambung soalan, “Awal kamu pulang, Saif Ali Al-Syirazi? Orang tua di kampong sihat?”

“Wa’alaikumussalam, ustaz. Alhamdulillah semuanya sihat seperti sedia kala.” Jawab Saif Ali Al-Syirazi dengan nada penuh mesra. “Saya sengaja balik awal. Mahu buat sedikit ulang kaji. Tambahan pula, peperiksaan SPM juga semakin hampir.”

“Mari datang rumah ustaz sebentar, kita minum-minum.”

Saif Ali Al-Syirazi pun memenuhi jemputan ustaz Bushra. Usai menjamah juadah, Saif Ali Al-Syirazi meminta izin mengundurkan diri. “Terima kasih ustaz atas layanan yang istimewa. Kata-kata nasihat yang ustaz berikan itu menjadi pembakar semangat untuk saya terus bekerja keras menuntut ilmu.” Ujarnya. Seindah senyuman dihadiahkannya kepada gurunya itu.

Usai bersalaman, Ustaz Bushra memasukkan sesuatu ke dalam kocek bahagian bawah baju melayu Saif Ali Al-Syirazi.

“Eh, apa ini ustaz?” soal Saif Ali Al-Syirazi terpinga-pinga. Dia malu-malu alah. Sudahlah menjadi tetamu orang, dapat pula sampul berisi wang!

“Alah, tiada apa-apa. Itu sahaja yang ustaz mampu. Anggaplah ia sebagai duit zakat ustaz, ya?”

Saif Ali Al-Syirazi tak mampu mengangkat mukanya. Dia benar-benar segan dengan tindakan gurunya itu. Justeru, dia segera angkat kaki. “Terima kasih ustaz. Moga zakat ustaz diterima Allah, dan harta ustaz menjadi berkat.”

***

Di asrama penginapan, Saif Ali Al-Syirazi melabuhkan punggungnya di atas katil. Sepanjang perjalanan pulangnya tadi, fikirannya asyik terganggu dengan kehadiran sampul di dalam koceknya itu. Justeru, dia segera menyeluk saku dan mengeluarkan isinya.

“Subhanalah! Banyaknya.” Saif Ali Al-Syirazi sedikit terkejut dengan sekeping not berwarna biru kehijau-hijauan itu. Justeru, dia mula membilang-bilang dengan jari, jumlah ahli keluarga Ustaz Bushra. “Semuanya lima orang. Takkan duit zakat fitrah untuk lima orang sebanyak ini?” hatinya tertanya-tanya. Otaknya ligat berfikir.

Namun, tanpa diduga, fikirannnya kembali terarah kepada kanak-kanak yang ditemuinya di Plaza Kotaraya petang tadi. “Subhanallah!” itulah perkataan pertama yang terpacul di bibinya. “Ternyata Engkau Maha Pemurah, ya Allah. Beberapa keeping syiling yang entah berapa nilainya itu telah Engkau pulangkannya kembali kepadaku dengan berlipat-lipat kali ganda. Terima kasih, ya Allah.” Ungkapnya di dalam sujud syukur.

Tuesday, September 17, 2013

Alhamdulillah.. kelahiran yang dinanti telah tiba.

Bismillah..

Himpunan 10 Kisah Peng-Islaman Sahabat (1)
 
Berdiri Teguh Di Atas Meja Penulis!

Alhamdulillah. Akhirnya, penantian ini telah berakhir. Setelah sekian lama menanti, akhirnya karya saya yang pertama bersama penerbit Galeri Ilmu Media Group telah tiba di atas meja penulis. Semoga karya ini menjadi saham dakwah yang sentiasa mengalir pahalanya sehingga ke hari kebangkitan kelak, insya-Allah, amin.

Pada hari Khamis yang lalu, saya bergegas ke Astana Karya untuk mengambil naskah penulis. Sempat juga saya berbual dengan Tuan Editor, Encik Amir berkenaan beberapa isu. Namun, khabar yang paling menggembirakan ialah, insya-Allah naskah kedua, iaitu Himpunan 10 Kisah Peng-Islaman Sahabat (2) akan siap dan bakal diterbitkan menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL14) tahun hadapan. Justeru, insya-Allah, saya bakal berada di PBAKL14 bersama dua naskah ini. Doakan saya, ya?

Apa kata pembaca tentang naskah ini?


Alhamdulilah! Cikgu Rozaidi merupakan pembaca pertama karya ini. Saya mendapat maklum balas yang daripada beliau tentang karya ini. Antara individu lain yang turut memberi komentar tentang naskah ini ialah Tuan Haji Zakaria Sungib, Ketua Jabatan Novel GIMG. Kata beliau tentang naskah ini, "Alhamdulillah, kisah-kisah menarik termuat dalam buku himpunan kisah garapan ustaz. Teruskan menulis, ustaz."

Pelajar Tingkatan 5 Bersama Naskah Mereka. Moga Sukses Dalam Peperiksaan SPM, Insya-Allah!
Karya Sirah..

Selain naskah Himpunan 10 Kisah Peng-Islaman Sahabat (1), GIMG juga menerbitkan pelbagai buku dalam genre ini. Tuan Khairy Tajudin banyak menulis dalam genre ini. Dalam masa yang sama, ada lagi penulis-penulis lain seperti Tuan Zuraimi, Tuan Waqiuddin Chan, Cikpuan Mariam M.S dan ramai lagi. Andai anda berminat memiliki karya-karya tersebut, anda boleh menghubungi pihak GIMG di laman sesawang www.galeriilmu.com atau membeli terus kepada penulisnya. 

Saya boleh dihubungi di zulfaq3r_28@hotmail.com atau lawati dan like page rasmi Himpunan 10 Kisah Peng-Islaman Sahabat (1).



Salam ukhwah!
Adzhar Ibrahim.

Wednesday, June 19, 2013

Memperkasa Jiwa Menjelang Bulan Mulia


Alhamdulillah, kini kita telah melangkah masuk ke bulan Syaaban. Ini bermakna, tidak lama lagi, kita bakal berhadapan dengan kefardhuan puasa yang mengandungi seribu satu rahsia yang telah Allah sediakan untuk hambanya yang bertaqwa.

Ramadhan merupakan bulan yang Rasulullah gambarkan sebagai bulan keampunan. Barangsiapa yang menghidupkan bulan ramadhan dengan melakukan pelbagai amalan kebaikan, disulami pula dengan pengharapan agar Allah menerima amalan tersebut, nescaya akan diampunkan segala kesalahannya yang telah lalu. Inilah janji Nabi yang termaktub di dalam hadith-hadith baginda.

Namun, sebelum menjelangnya bulan keampunan tersebut, terdapat satu bulan yang tidak kurang pentingnya kepada umat Islam. Syaaban merupakan mukaddimah kepada segala yang baik yang ada di dalam Ramadhan.




Dialog Familiar Di Bulan Ramadhan
Apabila menjelang masuk ke bulan yang mulia ini, kita biasa mendengar cakap-cakap yang mengatakan, “Mulai Ramadhan ini saya akan berubah! Saya akan mulai memperbaiki diri. Kali ini, saya sudah tidak mahu mensia-siakan Ramadhan sebagaimana tahun-tahun yang sudah.” 

Seseorang yang lain pula bercita-cita, “Saya tidak akan membiarkan hari-hari Ramadhan saya berlalu melainkan saya isinya dengan amal ibadah.”

Pelbagai dialog yang kita dengar saat menjelangnya masuk bulan Ramadhan. Itu dan ini. Namun, di kalangan ramai orang yang berjanji ini, siapakah yang benar-benar menepati janjinya? Andai dia benar-benar berjaya mengusahakan apa yang telah tersemat di hatinya, maka orang itulah yang dijanjikan taqwa dan mudah-mudahan dia termasuk dari kalangan orang yang mendapat keampunan.

Sebaliknya, jika orang itu tersungkur dalam ujian Ramadhannya, dan dia keluar daripada madrasah tarbiyah ini dengan sikap dan watak yang sama, ketahuilah bahawa dia sebenarnya termasuk dalam kalangan orang yang rugi lantaran telah mensia-siakan satu bulan yang lebih baik dan banyak ganjarannya di sisi allah daripada seribu bulan.


Syaaban Bulan Persediaan
Setiap individu muslim mesti bersedia dalam segenap perkara. Hari demi hari, persedian demi persediaan dilakukan. Kita perlu menambah ilmu dan maklumat tentang kefardhuan puasa dan kelebihan yang Allah hidangkan di dalam bulan Ramadhan. Dalam erti kata untuk memperkasa minda, pergilah ke kuliyah-kuliyah agama dan bertanyalah kepada para alim ulama tentang perkara yang masih tidak fahami tentang selok-belok kefardhuan agama. Paling tidak pun, carilah bahan bacaan ilmiah yang berkaitan sebagai rujukan sekunder selepas menghadiri kelas pengajian agama.

Kita juga perlu mempersiapkan diri dari sudut rohani, jasmani dan mental. Rohani diperkuatkan dengan mula melakukan banyak amal kebaikan. Ringankan tangan untuk bersedekah, samada secara sembunyi mahupun secara terang-terangan. Sesungguhnya, amalan sedekah itu merupakan perisai yang dapat menahan diri kita daripada menjadi bahan bakar api neraka. Amalan sedekah juga mampu menghapus kemurkaan Tuhan ke atas hamba-Nya. Justeru itu, gemar saya memetik kata-kata ahli hikmah berkaitan amalan sedekah. Katanya, “Janganlah kamu letakkan hartamu di hatimu, sebaliknya letakkan ia di atas tangnmu.”

Rohani juga dapa diperkuatkan dengan bacaan al-Quran. Kita perju jadikan al-Quran sentiasa dibaca bukan hanya di dalam bulan ramadhan sahaja, sebaliknya ia perlu menjadi bahan bacaan untuk sepangjang hayat kita. Saya amat yakin, kita tidak mampu meniru bagaimana golongan salaf terdahulu membudayakan bacaan al-Quran. Ada di kalangan mereka yang khatam bacaannya seminggu sekali, ada yang ktaham tiga hari sekali. Ada juga golongan soleh yang mampu menabatkan bacaan al-Qurannya dalam tempoh masa sehari sahaja. Malah, lebih hebat lagi ada yang mampu membaca 30 juz al-Quran dalam solat qiyamullailnya. Subhanallah! Jika mahu dibandingkan kita dengan mereka, langit dan bumi menjadi bezanya. Justeru, saya fikir, dengan kepelbagaian komitmen yang kita pikul hari ini, bacalah paling kurang dua helai setiap kali selepas solat, kerana ia menjadikan kita dapat mengkhatamkan bacaan tersebut kira-kira sebulan sekali.

Unsur jasmani juga perlu diberi penekanan. Pastikan tubuh badan kita sihat dan bersedia untuk menjalani ibadah puasa. Kita sudah boleh mula membiasakan diri dengan amalan puasa sunat. Amalan ini dapat membantu mana-mana individu yang mengalami sakit gastrik agar membiasakan diri untuk berlapar. Mudah-mudahan amalan sunat ini dapat mengelakkan pesakit gastrik ini dari mengalami perubahan situasi daripada berkenyang-kenyangan kepada berlapar dahaga.



Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan!
Akhirnya, setelah kita mempersiapkan diri dengan pelbagai kelengkapan diri, kita dapat melangkah masuk ke dalam kem ramadhan dan siap sedia untuk ditarbiyah Tuhan. Apabila datangnya hari-hari keampunan yang ada di dalam bulan ramadhan itu, kita persiapkan pula diri dengan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menghidupkan bulan yang mulia ini demi menggapai redha dan taqwa yang dijanjikan Allah.

Sebagai penutup, menceritakan tentang bulan Syaaban, Rasulullah pernah berkata, “Itulah bulan yang sering dilupakan oleh manusia, ia terletak di antara bulan Rejab dan Ramadhan, ia merupakan bulan yang diangkat amalan ke hadrat Tuhan sekalian alam. Oleh itu, aku sangat suka agar amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.”


Justeru, orang beriman sepatutnya bersiap-sedia untuk bertemu dengan Ramadhan seawal hari pertama saat menjejak ke bulan Syaaban.

"Ya Allah! Berkatilah bagi kami Bulan Syaaban, dan sampaikan kami kepada Bulan Ramadhan."

Monday, March 25, 2013

Pemimpin Yang Disayang Tuhan, Nabi dan Rakyat


Tanggal 15 April 1944, lahirlah seorang insan yang diberi nama Dzokahar Musayavich Dudayev. Ketika itu, landskap politik Negara Chechnya berada di bawah cengkaman pemerintah kuku besi Soviet Union, Jeseph Stalin. Itulah saat kemuncak bencana kemanusiaan. Melalui doktrin Social Realism, semua orang dipaksa untuk berfahaman komunis.

Tanpa menghargaai erti peri-kemanusiaan, Stalin memaksakan kesamarataan ke atas segenap lapisan masyarakat. Mana-mana petani yang memiliki tanah yang luas dianggap sebagai pengkhianat, lalu tanah mereka dirampas. Pembunuhan kedengaran berlaku di mana-mana. Dalam tahun 1937 hingga 1938, Stalin telah menangkap seramai 35,000 orang tenteranya. Lantaran mengganggap mereka sebagai ancaman, 30, 000 orang di kalangan mereka dihukum bunuh. Padahal, semua mereka itu merupakan tentera Stalin sendiri! Justeru, di tengah-tengah hiruk-pikuk masyarakat sebeginilah lahirnya Dzokahar Musayavich Dudayev.



Apabila Datangnya Kebenaran, Maka Terhapuslah Kebatilan
Pada tahun 1953, Joseph Stalin meninggal dunia. Pada waktu itu, Dudayev sedang meningkat remaja. Pada mulanya, dia berlajar aliran listrik dan elektronik. Namun, terasa tidak puas! Lantaran memiliki minda yang cerdas di samping mempunyai wawasan hidup yang tinggi, Dudayev memasuki sekolah penerbangan di bawah pengawasan pasukan komando Soviet Union yang terletak di Tambov. 

Usai bergraduasi dari sekolah tersebut, Dudayev menyambung pelajarannya di sekolah tinggi Yuri Gagarin Aviation Academy di Moscow. Pada waktu itu, para pelajar sepertinya diwajibkan menyertai latihan ketenteraan. Namun, dalam masa yang sama, dia mendalami ilmu Bahasa Arab secara senyap-senyap. Bahkan, ada sumber menyatakan bahawa Dudayev pernah menuntut ilmu di Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Pada tahun 1990, ketika Dudayev memegang jawatan komandan base-camp pesawat serbu, dia mendapat perintah dari Kremlin supaya menghantar persawat pengebom untuk menyerang para demonstran yang sedang menuntut kemerdekaan di sebuah kawasan bernama Baltic State. Namun, Dudayev berkeras dengan tegas menolak perintah tersebut. Menurutnya, semua manusia di bumi ini layak mendapat nikmat kemerdekaan. Justeru, Dudayev bukan setakat membantah arahan yang dikeluarkan, malah bertindak nekad membiarkan bendera Estonia berkibar megah di kawasan pangkalan udara yang berada di bawah kawalannya.

Terbitnya Fajar Islam
Hal ini menjadi simbol pembangkangan buat Soviet Union. Namun, bagi Dudayev, perkara sebegitu merupakan satu penghormatan buat jiwa yang merdeka yang dianugerah Tuhan kepada setiap manusia. Lantaran peristiwa ini, Dudayev telah dipindah tugas dan dibuang ke wilayah Grozny.

Pada tahun 1991, Soviet Union lumpuh. Komunisme yang menjadi teras perjuangan sudah ditinggalkan. Boris Yeltsin naik takhta secara kudeta. Beliau mendirikan negara Rusia. Dalam masa yang sama, di Chechnya, Dzokar Musayevich Dudayev menyertai pilihan raya umum sebagai calon preside mewakili Parti Pan Nasional Kongres Rakyat Chechnya. Dia bertanding melawan calon dari parti beraliran komunis. 

Lantaran rakyat sudah muak dengan fahaman tersebut, dan mahukan kepimpinan seorang Muslim, Dzokar Musayevich Dudayev mendapat kemenangan mutlak. Justeru, beliau diangkat sebagai presiden pertama Republik Chechnya of Ickheria, tanah muslimin yang terletak di kawasan pergunungan Kaukasus.


Kata Dudayev, "Sebagai manusia, semua orang berhak menikmati erti kebebasan!"

Bersambung...
Adaptasi daripada sumber: Perjalanan Meminang Bidadari

Tuesday, March 12, 2013

Sejuta Kasih Ibunda



Ibu bapa adalah permata hati bagi setiap individu yang bergelar anak. Tanpa seorang ibu dan seorang bapa, tiadalah seorang anak. Justeru, seorang yang mempunyai jati diri cemerlang, mesti mematerikan di dalam hatinya, bahawa insan pertama yang wajib diberikan segala kebaktian adalah  ibu dan bapanya.
Ibu dan adalah insan yang bertanggungjawab menjadi perantara membawa anak kepada kehidupan dunia.
Betapa jerih dan payahnya seorang ibu, apabila mendapati dirinya hamil, dia terpaksa menanggung kesusahan demi kesusahan, samada kesusahan dari sudut fizikal mahupun kesusahan dari sudut mental.
Dari sudut fizikal, ibu akan mengalami pelbagai jenis alahan, morning sickness, rasa mual, alergi makanan, pening kepala dan pelbagai jenis rasa susah lagi. Dari sudut mental pula, ibu akan mengalami kepelbagaian gengguan emosi, yang menjadi rencah dan asam garam saat meniti perjalanan proses kehamilan.
Kemudian, ibu terpaksa menanggung beban berat kandungannya itu, yang setiap hari semakin bertambah, selama sekitar tempoh 9 bulan 10 hari.
Apabila sampai masa yang telah ditetapkan, ibu sekali lagi bertarung nyawa demi melahirkan bayi kandungannya. Jika bernasib baik, ibu akan selamat dan dapat terus hidup bersama kelahiran barunya. Namun sebaliknya, jika nasib tidak menyebelahi si ibu, dia akan gugur sebagai syahid.

Ibu, ayah, terima kasih!
Menceritakan detik-detik sukar yang terpaksa ditanggung oleh seorang ibu, Allah s.w.t mengibaratkan,

حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ
“Ibu telah mengandungkan (anak)nya dalam keadaan menanggung kelemahan demi kelemahan (bermula dari awal tempoh mengandung hingga akhir tempoh menyusukannya).”
                                                                                                                                  (Luqman: 14)

Namun, bagi seorang ibu, semua kepenatan dan kesukaran, rasa payah dan lelah akan hilang serta merta, saat si ibu melihat si kecil yang baru dilahirkannya. Tiada lagi rasa mual, morning sickness, pening kepala, rasa beban dan lain-lain perasaan sukar. Sebaliknya, perasaan yang ada ketika itu hanyalah rasa sayu, gembira dan bahagia.

 Trivia: Tahukah Saya?
"Seorang manusia normal hanya mampu menahan sehingga 45 del (unit) kesakitan. Tetapi semasa melahirkan bayi, seorang ibu merasai sehingga 57 del (unit) kesakitan. Ini sama dengan mematahkan 20 tulang secara serentak!"






Usai proses kehamilan,  si ibu sekali lagi terpaksa kembali menanggung kesusahan, lantaran perlu menyusukan bayinya demi menjamin sumber pemakanan bayi yang terbaik. Dalam proses tumbesaran bayi, Ibu juga terpaksa  menanggung beban bersengkang mata berjaga malam demi memastikan si kecil senantiasa membersar dalam keadaan selesa. Ibu juga memberikan asuhan dan pendidikan terbaik buat anaknya.
Demi kelahiran ini juga, ayah pula banyak berkorban dari sudut material dan fizikal. Ayah terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menyediakan pelbagai kelengkapan, membiayai pelbagai kos perubatan si ibu, dan pelbagai kos-kos lain.
Justeru, dengan semua yang dilakukan ini, ibu bapa sangat layak menerima penghargaan sebagai tanda terima kasih daripada seorang anak. Lantaran itu, Allah s.w.t memerintahkan,

أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ
“Bersyukurlah kepada-Ku dan (berterima kasihlah) kepada kedua ibubapamu.”
        (Luqman: 14)


Kewajiban berbuat baik terhadap ibu bapa

Menyatakan hak kedua ibu bapa yang mesti dipenuhi oleh seorang anak, Allah s.w.t memberitahu,


“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.”
       (al-‘Ankabut: 8 dan Luqman: 14)

Allah s.w.t menegaskan lagi,

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan daku (dalam ibadatmu) Dengan sesuatu Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah Engkau taat kepada mereka. kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”   (al-‘Ankabut: 8)

Ketika membicarakan tentang sepuluh perjanjian yang diikat bersama kaum Bani Israil, Allah memerintahkan mereka dengan berkata,


“Janganlah kamu sekutukan Allah dengan sesuatu pun, dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.”    (al-An’am: 151)

Kepada Siapa Saya Harus Lebih Berbakti?

Persoalan ini senantiasa berlegar-legar di minda. Antara dua wajah insan kesayangan setiap insan, yang mana satukah lebih berhak menerima kebaktian? Ibu mengandung dan melahirkan, mendidik dan membesarkan. Ayah pula berlelah penat memerah keringat dan bekerja kuat, demi memberi sesuap rezeki, buat yang sedang sabar menanti.  Justeru, kepada siapa sepatutnya seorang anak melebihkan kebaktian?
Menjawab persoalan ini, Abu Hurairah menceritakan,

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي قَالَ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أَبُوكَ
“Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu bertanya kepada Baginda, “Siapakah orang yang paling berhak untuk saya lakukan kebaktian buatnya?” Baginda menjawab, “Ibumu,” Lelaki itu bertanya lagi, “kemudian, siapa?” Baginda menjawab, “Ibumu,” Lelaki itu bertanya lagi, “kemudian, siapa?” Baginda menjawab, “Ibumu,” Lelaki itu bertanya lagi, “kemudian, siapa?” Baginda  menjawab, “Ayahmu.”



Saya Suka!