Hari Kekasih
Bukan Budaya Islam
Saban tahun,
tanggal 14 Februari merupakan satu tarikh keramat yang sangat sinonim bagi
setiap pasangan yang bercinta. Masyarakat umum mengganggap tarikh tersebut
sebagai hari untuk memperingati kekasih. Tanpa mengenal usia, segenap lapisan
masyarakat di seluruh dunia meraikan tanggal tersebut dengan pelbagai cara yang
tersendiri.
Pada asalnya,
Hari Kekasih yang sinonim dengan nama Velentine’s Day ini disambut oleh
masyarakat Amerika dan Eropah.Masyarakat di sana menjadikan tarikh 14 Februari
sebagai hari yang khusus untuk menyatakan rasa kasih dan cinta kepada pasangan
masing-masing. Namun, lama-kelamaan, sambutan ini tersebar luas ke serata dunia dan malangnya,
ramai dari kalangan umat Islam khususnya golongan remaja yang turut terjebak
merayakan sambutan ini.
Amat
menggusarkan apabila melihat Velentine’s Day mendapat sambutan hangat di
kalangan muda-mudi Islam. Tanpa didasari ilmu pengetahuan, mereka dengan
membuta tuli telah terjebak dengan anasir barat yang ternyata tidak sehaluan
samada dari sudut pegangan agama mahupun dari sudut adab masyarakat timur.
Sejarah
Velentine’s Day
Ramai ilmuwan
Islam telah menulis dengan panjang lebar berhubung Velentine’S Day. Justeru, mari
kita soroti, apakah kisah yang berlaku di sebalik Hari Kekasih ini. Rizki
Ridyasmara menulis di dalam bukunya, Valentine Day, Natal, Happy New Year,
April Mop, Hallowen: So What?, ahli sejarah berselisih pendapat tentang
apakah peristiwa sebenar yang menyebabkan Valentine’s Day terus diperingati.
Menurut beliau, terdapat empat pendapat yang amat popular yang diakatkan dengan
peristiwa ini.
Pendapat
pertama mengaitkan Hari Kekasih dengan sambutan masyarakat Rom kuno yang
menyambut tanggal 13 hingga 18 Februari sebagai hari penyucian diri. Dua hari
pertama memerlukan mereka menyembah dewa cinta (Queen of Faverish Love). Pada
hari tersebut, para pemuda Rom akan memasukkan nama-nama anak gadis di dalam
sebuah kotak dan membuat cabutan secara rawak. Gadis yang diperoleh menerusi
cabutan tersebut bakal menjadi habuan seksnya selama setahun.
Pendapat
kedua mengaitkan hari ini dengan seorang yang bernama St. Valentino yang hidup
pada zaman pemerintahan raja Rom yang bernama Claudius. Maharaja Claudius
beranggapan lelaki yang belum berkahwin lebih bersemangat berjuang di medan
perang berbanding golongan yang telah berkahwin. Justeru, Claudius mengeluarkan
larangan berkahwin bagi lelaki yang masih bujang. Lantaran tidak bersetuju dengan pandangan
maharaja Rom itu, St. Valentino tetap melakukan upacara mengahwinkan lelaki
bujang secara rahsia. Akhirnya, rahsianya terbongkar dan St. Valentino
ditangkap dan dihukum gantung pada tanggal 14 Februari.
Pendapat
ketiga mengaitkan hari ini sebagai hari memperingati kejatuhan Kerajaan Islam
Andalusia di Sepanyol yang tumbang pada tanggal 14 Februari 1492. Seseorang yang
bernama St. Valentine merupakan maestro yang memainkan watak utama dalam usaha
menjatuhkan kerajaan Islam tersebut. Justeru, beliau telah dianggap sebagai
kekasih rakyat. Mengganggap agama Islam sebagai zalim, menurut mereka, tanggal
14 Februari harus diperingati kerana percaya hari hari kejatuhan Islam tersebut
merupakan hari kasih sayang.
Pendapat
keempat dinukilkan oleh seorang penyair Inggeris yang bernama Geoffrey Chaucer
di dalam puisinya. Menurut beliau, Valentine’s Day adalah bersempena musim
burung mengawan yang jatuh pada tanggal 14 Februari.
Awas! Jerat
Hari Kekasih
Atas nama
kasih sayang, mereka menggunakan pelbagai helah yang sangat licik untuk
memperdayakan umat Islam. Walhal, sejarah membuktikan bahawa perayaan tersebut
merupakan syiar agama kristian. Bahkan, lebih malang, mereka merayakan tanggal
14 Februari bersempena tarikh kejatuhan pemerintahan Islam di Andalusia. Apakah
kita masih tidak terguris hati dengan agenda jahat mereka ini?
Di kesempatan
ini, saya memanjat kesyukuran kehadrat Ilahi, sejajar dengan perkembangan zaman
dan tersebarnya maklumat, dewasa ini kita dapat melihat ramai sarjana Islam
samada melalui pertubuhan mahupun bergerak secara individu, masing-masing
menjalankan tanggunjawab dalam memberi kesedaran kepada umat Islam tentang
bahana Valentine’s Day.
Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga telah mengeluarkan fatwa tentang
pengharaman sambutan Hari Kekasih bagi
umat Islam. Banyak persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan yang melibatkan diri
dalam usaha dakwah menyebarkan maklumat tentang ketidakwajaran umat Islam
menyambut Hari Kekasih. Yang terbaharu, saya mendengar seruan mencegah pemuda
pemudi Islam menyertai sambutan Valentine’s Day turut dilakukan melalui medium
khutbah Solat Jumaat. Ini merupakan satu perkembangan yang sangat baik.
Akhirnya,
saya menyeru kepada semua pihak termasuk media massa dan elektronik agar
sama-sama menggembeling tenaga mempromosikan Islam dalam bentuk yang sebenar
demi menjaga kelangsungan dan kesucian agama ini dari dikotori oleh anasir
luar. Ketahuilah, bahawa Islam adalah agama yang didasari oleh cinta dan Islam
mempunyai cara tersendiri dalam meraikan cinta.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengcintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Ali Imran 3:31)
![]() |
| No Luv Until Akad! |

No comments:
Post a Comment
Semoga komentar anda memberi nilai tambah buat saya.