Showing posts with label Tarbiyah Rohani. Show all posts
Showing posts with label Tarbiyah Rohani. Show all posts

Thursday, October 24, 2013

Cerpen: Cinta Astakona

Ufuk langit semakin merah. Saif Ali Al-Syirazi mempercepatkan langkah. Dia mencelah-celah di sela orang ramai yang masing-masing deras melangkah. Sepanjang masa, wajah ibu kota tiada bezanya. Tiada pernah lengang dengan kehadiran orang! Kereta yang lalu-lalang juga silih berganti datang dan pergi. Keadaan trafik menjadi sesak di saat waktu prima sebegini. Mujur ada beberapa orang aggota polis trafik yang mengawal keadaan lalu lintas.

‘Sempatkah aku sampai ke destinasi ini?’ detik hati Saif Ali Al-Syirazi. Tangannya menyambar laju memetik punat besar yang ada di tiang lampu isyarat. Dalam masa yang sama, dia mengerling ke arah jam yang terikat di pergelangan tangan kirinya.

Kereta mula berhenti. Orang ramai yang sedari tadi menunggu di birai jalan mula melangkah merentasi Jalan Sultan ke arah yang bertentangan. Saif Ali Al-Syirazi melangkah ke arah sebuah bangunan. Pasaraya itu berdiri megah menjadi mercu tanda ibu kota. Pada tingkat yang paling atas, tertera tulisan ‘Plaza Kotaraya’ yang diperbuat daripada lampu neon.

Saif Ali Al-Syirazi memandang kiri dan kanan. Dia mencari sesuatu. Di situ, ada beberapa buah bas berwarna merah yang sudah siap sedia menunggu. “Manalah bas intrakota ini?” keluhnya perlahan. Matanya mengerling jam tangan. Jarumnya sudah pun menunjukkan jam 6.40 petang.

Sementara menunggu kedatangan bas, Saif Ali Al-Syirazi mencari-cari tempat untuk melabuhkan punggung. Dipandangnya ke kanan, “Wah, di warung starbuck itu ada kipas yang dilengkapi pemancar air. Petang-petang di yang panas begini, badan pasti terasa segar jika dapat duduk di hadapan kipas sebegitu. Pasti terasa bagaikan dihembus angina bayu.” Detik hatinya. Namun, niatnya itu tidak diteruskan. Takut pula tergoda iman! Maklumlah, petang-petang begini, ramai pula non-Muslim yang melepaskan penat seharian bekerja di situ. Lagipun, “takut pula terlepas bas nanti,” hati kecilnya berbisik memujuk rasa.

Sedang dia membetulkan duduknya di atas binaan yang ada di kaki lima pasaraya itu, pandangan matanya dicuri oleh kelibat seorang anak kecil. Barangkali, pada pandangan Saif Ali Al-Syirazi, usia kanak-kanak itu sekitar sepuluh tahun. Dia pergi berpapasan dan bertemu setiap orang sambil membawa barang, “Assalamualaikum kak, mahu beli buku?” soalnya sambil menungjukkan beberapa buah naskah pelbagai judul kepada bakal pembelinya. Dalam dakapannya, ada beberapa naskah lagi yang digendong ke sana ke mari.

Kakak yang bertudung tiga segi itu tidak melayan kehadirannya. Malah, kakak tersebut hanya menoleh ke arah kanak-kanak tersebut, dan kembali berbual-bual dengan rakan-rakannya. Lama kanak-kanak itu berdiri dan berjumpa dengan beberapa orang yang ada di kawasan itu. Walau apa pun reaksi manusia yang dihadapinya, dia tetap tabah menawarkan buku-buku yang dibawanya. Saif Ali Al-Syirazi hanya memerhati dan terus memerhati.

Seketika kemudian, kanak-kanak itu pun menghampirinya. Sapa kanak-kanak itu, “Assalamualaikum abang, mahu beli buku?”

“Wa’alaikumussalam.” Saif Ali Al-Syirazi hanya melemparkan senyum. Melihat wajah anak-anak itu, Saif Ali Al-Syirazi berasa sangat kasihan. Namun, apakan daya. “Abang juga sepertimu adik, tiada punya apa-apa.” Hatinya merintih.

“Adik puasa hari ini?” soal Saif Ali Al-Syirazi mengubah topik bicara.

“Puasa.”

“Masa berbuka sudah hampir ini. Adik berbuka di mana?”

“Saya tidak kisah. Di mana-mana pun boleh.”

Allah. Hati Saif Ali Al-Syirazi semakin sayu. Diusap-usapnya ubun-ubun anak kecil itu. Seketika kemudian, dia menyeluk kocek seluarnya. Terasa ada beberapa keeping syiling. Justeru, digenggam ke semuanya dan dihulurkan kepada kanak-kanak yang sedari tadi berdiri di hadapannya itu. Entah berapa jumlahnya, hanya Allah jualah yang Maha Mengetahui.

Dalam leka bersama kanak-kanak itu, bas intrakota berwarna kelabu dan biru yang dinanti-nanti pun tiba. “Maafkan abang, ya adik. Bas abang sudah sampai. Abang terpaksa pergi.”

“Baiklah abang. Terima kasih atas rezeki ini.” Ujarnya kemudian.

Saif Ali Al-Syirazi melangkah naik ke atas bas yang bernombor 21C itu. “Mahu ke mana, adik?” Tanya pemandu bas.

“Taman Tun Dr Ismail.” Ujarnya ringkas.

“Seringgit enam puluh sen, ya?”

Di dalam bas, azan berkumandang menandakan masuknya waktu solat fardhu Maghrib. “Alhamdulillah, mujur ada slurpee. Jadilah. Ini sudah memadai sebagai juadah berbuka puasa hari ini.” Hatinya berbisik.

***

Usai solat tarawikh di Masjid Al-Ghufran, Saif Ali Al-Syirazi menyapa seorang temannya, “Awal engkau pulang ke asrama, Mikail?

Mereka berjabat tangan. Mikail menjawab, “Aku seperti biasa, cuti pendek begini, malas pula mahu pulang ke Melaka. Jadi, aku duduk di rumah Ustaz Bushra sahajalah.”

“Untunglah engkau! Menjadi adik ipar pengetua ini dapatlah menumpang jika sesak,” usik Saif Ali Al-Syirazi. Mereka berdua ketawa berdekah-dekah.

Namun, entah datang dari mana, sosok tubuh ustaz Bushra menjelma di depan mata. “Assalamualaikum.” Sapanya. Kemudian, dia menyambung soalan, “Awal kamu pulang, Saif Ali Al-Syirazi? Orang tua di kampong sihat?”

“Wa’alaikumussalam, ustaz. Alhamdulillah semuanya sihat seperti sedia kala.” Jawab Saif Ali Al-Syirazi dengan nada penuh mesra. “Saya sengaja balik awal. Mahu buat sedikit ulang kaji. Tambahan pula, peperiksaan SPM juga semakin hampir.”

“Mari datang rumah ustaz sebentar, kita minum-minum.”

Saif Ali Al-Syirazi pun memenuhi jemputan ustaz Bushra. Usai menjamah juadah, Saif Ali Al-Syirazi meminta izin mengundurkan diri. “Terima kasih ustaz atas layanan yang istimewa. Kata-kata nasihat yang ustaz berikan itu menjadi pembakar semangat untuk saya terus bekerja keras menuntut ilmu.” Ujarnya. Seindah senyuman dihadiahkannya kepada gurunya itu.

Usai bersalaman, Ustaz Bushra memasukkan sesuatu ke dalam kocek bahagian bawah baju melayu Saif Ali Al-Syirazi.

“Eh, apa ini ustaz?” soal Saif Ali Al-Syirazi terpinga-pinga. Dia malu-malu alah. Sudahlah menjadi tetamu orang, dapat pula sampul berisi wang!

“Alah, tiada apa-apa. Itu sahaja yang ustaz mampu. Anggaplah ia sebagai duit zakat ustaz, ya?”

Saif Ali Al-Syirazi tak mampu mengangkat mukanya. Dia benar-benar segan dengan tindakan gurunya itu. Justeru, dia segera angkat kaki. “Terima kasih ustaz. Moga zakat ustaz diterima Allah, dan harta ustaz menjadi berkat.”

***

Di asrama penginapan, Saif Ali Al-Syirazi melabuhkan punggungnya di atas katil. Sepanjang perjalanan pulangnya tadi, fikirannya asyik terganggu dengan kehadiran sampul di dalam koceknya itu. Justeru, dia segera menyeluk saku dan mengeluarkan isinya.

“Subhanalah! Banyaknya.” Saif Ali Al-Syirazi sedikit terkejut dengan sekeping not berwarna biru kehijau-hijauan itu. Justeru, dia mula membilang-bilang dengan jari, jumlah ahli keluarga Ustaz Bushra. “Semuanya lima orang. Takkan duit zakat fitrah untuk lima orang sebanyak ini?” hatinya tertanya-tanya. Otaknya ligat berfikir.

Namun, tanpa diduga, fikirannnya kembali terarah kepada kanak-kanak yang ditemuinya di Plaza Kotaraya petang tadi. “Subhanallah!” itulah perkataan pertama yang terpacul di bibinya. “Ternyata Engkau Maha Pemurah, ya Allah. Beberapa keeping syiling yang entah berapa nilainya itu telah Engkau pulangkannya kembali kepadaku dengan berlipat-lipat kali ganda. Terima kasih, ya Allah.” Ungkapnya di dalam sujud syukur.

Tuesday, September 17, 2013

Alhamdulillah.. kelahiran yang dinanti telah tiba.

Bismillah..

Himpunan 10 Kisah Peng-Islaman Sahabat (1)
 
Berdiri Teguh Di Atas Meja Penulis!

Alhamdulillah. Akhirnya, penantian ini telah berakhir. Setelah sekian lama menanti, akhirnya karya saya yang pertama bersama penerbit Galeri Ilmu Media Group telah tiba di atas meja penulis. Semoga karya ini menjadi saham dakwah yang sentiasa mengalir pahalanya sehingga ke hari kebangkitan kelak, insya-Allah, amin.

Pada hari Khamis yang lalu, saya bergegas ke Astana Karya untuk mengambil naskah penulis. Sempat juga saya berbual dengan Tuan Editor, Encik Amir berkenaan beberapa isu. Namun, khabar yang paling menggembirakan ialah, insya-Allah naskah kedua, iaitu Himpunan 10 Kisah Peng-Islaman Sahabat (2) akan siap dan bakal diterbitkan menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL14) tahun hadapan. Justeru, insya-Allah, saya bakal berada di PBAKL14 bersama dua naskah ini. Doakan saya, ya?

Apa kata pembaca tentang naskah ini?


Alhamdulilah! Cikgu Rozaidi merupakan pembaca pertama karya ini. Saya mendapat maklum balas yang daripada beliau tentang karya ini. Antara individu lain yang turut memberi komentar tentang naskah ini ialah Tuan Haji Zakaria Sungib, Ketua Jabatan Novel GIMG. Kata beliau tentang naskah ini, "Alhamdulillah, kisah-kisah menarik termuat dalam buku himpunan kisah garapan ustaz. Teruskan menulis, ustaz."

Pelajar Tingkatan 5 Bersama Naskah Mereka. Moga Sukses Dalam Peperiksaan SPM, Insya-Allah!
Karya Sirah..

Selain naskah Himpunan 10 Kisah Peng-Islaman Sahabat (1), GIMG juga menerbitkan pelbagai buku dalam genre ini. Tuan Khairy Tajudin banyak menulis dalam genre ini. Dalam masa yang sama, ada lagi penulis-penulis lain seperti Tuan Zuraimi, Tuan Waqiuddin Chan, Cikpuan Mariam M.S dan ramai lagi. Andai anda berminat memiliki karya-karya tersebut, anda boleh menghubungi pihak GIMG di laman sesawang www.galeriilmu.com atau membeli terus kepada penulisnya. 

Saya boleh dihubungi di zulfaq3r_28@hotmail.com atau lawati dan like page rasmi Himpunan 10 Kisah Peng-Islaman Sahabat (1).



Salam ukhwah!
Adzhar Ibrahim.

Wednesday, June 19, 2013

Memperkasa Jiwa Menjelang Bulan Mulia


Alhamdulillah, kini kita telah melangkah masuk ke bulan Syaaban. Ini bermakna, tidak lama lagi, kita bakal berhadapan dengan kefardhuan puasa yang mengandungi seribu satu rahsia yang telah Allah sediakan untuk hambanya yang bertaqwa.

Ramadhan merupakan bulan yang Rasulullah gambarkan sebagai bulan keampunan. Barangsiapa yang menghidupkan bulan ramadhan dengan melakukan pelbagai amalan kebaikan, disulami pula dengan pengharapan agar Allah menerima amalan tersebut, nescaya akan diampunkan segala kesalahannya yang telah lalu. Inilah janji Nabi yang termaktub di dalam hadith-hadith baginda.

Namun, sebelum menjelangnya bulan keampunan tersebut, terdapat satu bulan yang tidak kurang pentingnya kepada umat Islam. Syaaban merupakan mukaddimah kepada segala yang baik yang ada di dalam Ramadhan.




Dialog Familiar Di Bulan Ramadhan
Apabila menjelang masuk ke bulan yang mulia ini, kita biasa mendengar cakap-cakap yang mengatakan, “Mulai Ramadhan ini saya akan berubah! Saya akan mulai memperbaiki diri. Kali ini, saya sudah tidak mahu mensia-siakan Ramadhan sebagaimana tahun-tahun yang sudah.” 

Seseorang yang lain pula bercita-cita, “Saya tidak akan membiarkan hari-hari Ramadhan saya berlalu melainkan saya isinya dengan amal ibadah.”

Pelbagai dialog yang kita dengar saat menjelangnya masuk bulan Ramadhan. Itu dan ini. Namun, di kalangan ramai orang yang berjanji ini, siapakah yang benar-benar menepati janjinya? Andai dia benar-benar berjaya mengusahakan apa yang telah tersemat di hatinya, maka orang itulah yang dijanjikan taqwa dan mudah-mudahan dia termasuk dari kalangan orang yang mendapat keampunan.

Sebaliknya, jika orang itu tersungkur dalam ujian Ramadhannya, dan dia keluar daripada madrasah tarbiyah ini dengan sikap dan watak yang sama, ketahuilah bahawa dia sebenarnya termasuk dalam kalangan orang yang rugi lantaran telah mensia-siakan satu bulan yang lebih baik dan banyak ganjarannya di sisi allah daripada seribu bulan.


Syaaban Bulan Persediaan
Setiap individu muslim mesti bersedia dalam segenap perkara. Hari demi hari, persedian demi persediaan dilakukan. Kita perlu menambah ilmu dan maklumat tentang kefardhuan puasa dan kelebihan yang Allah hidangkan di dalam bulan Ramadhan. Dalam erti kata untuk memperkasa minda, pergilah ke kuliyah-kuliyah agama dan bertanyalah kepada para alim ulama tentang perkara yang masih tidak fahami tentang selok-belok kefardhuan agama. Paling tidak pun, carilah bahan bacaan ilmiah yang berkaitan sebagai rujukan sekunder selepas menghadiri kelas pengajian agama.

Kita juga perlu mempersiapkan diri dari sudut rohani, jasmani dan mental. Rohani diperkuatkan dengan mula melakukan banyak amal kebaikan. Ringankan tangan untuk bersedekah, samada secara sembunyi mahupun secara terang-terangan. Sesungguhnya, amalan sedekah itu merupakan perisai yang dapat menahan diri kita daripada menjadi bahan bakar api neraka. Amalan sedekah juga mampu menghapus kemurkaan Tuhan ke atas hamba-Nya. Justeru itu, gemar saya memetik kata-kata ahli hikmah berkaitan amalan sedekah. Katanya, “Janganlah kamu letakkan hartamu di hatimu, sebaliknya letakkan ia di atas tangnmu.”

Rohani juga dapa diperkuatkan dengan bacaan al-Quran. Kita perju jadikan al-Quran sentiasa dibaca bukan hanya di dalam bulan ramadhan sahaja, sebaliknya ia perlu menjadi bahan bacaan untuk sepangjang hayat kita. Saya amat yakin, kita tidak mampu meniru bagaimana golongan salaf terdahulu membudayakan bacaan al-Quran. Ada di kalangan mereka yang khatam bacaannya seminggu sekali, ada yang ktaham tiga hari sekali. Ada juga golongan soleh yang mampu menabatkan bacaan al-Qurannya dalam tempoh masa sehari sahaja. Malah, lebih hebat lagi ada yang mampu membaca 30 juz al-Quran dalam solat qiyamullailnya. Subhanallah! Jika mahu dibandingkan kita dengan mereka, langit dan bumi menjadi bezanya. Justeru, saya fikir, dengan kepelbagaian komitmen yang kita pikul hari ini, bacalah paling kurang dua helai setiap kali selepas solat, kerana ia menjadikan kita dapat mengkhatamkan bacaan tersebut kira-kira sebulan sekali.

Unsur jasmani juga perlu diberi penekanan. Pastikan tubuh badan kita sihat dan bersedia untuk menjalani ibadah puasa. Kita sudah boleh mula membiasakan diri dengan amalan puasa sunat. Amalan ini dapat membantu mana-mana individu yang mengalami sakit gastrik agar membiasakan diri untuk berlapar. Mudah-mudahan amalan sunat ini dapat mengelakkan pesakit gastrik ini dari mengalami perubahan situasi daripada berkenyang-kenyangan kepada berlapar dahaga.



Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan!
Akhirnya, setelah kita mempersiapkan diri dengan pelbagai kelengkapan diri, kita dapat melangkah masuk ke dalam kem ramadhan dan siap sedia untuk ditarbiyah Tuhan. Apabila datangnya hari-hari keampunan yang ada di dalam bulan ramadhan itu, kita persiapkan pula diri dengan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menghidupkan bulan yang mulia ini demi menggapai redha dan taqwa yang dijanjikan Allah.

Sebagai penutup, menceritakan tentang bulan Syaaban, Rasulullah pernah berkata, “Itulah bulan yang sering dilupakan oleh manusia, ia terletak di antara bulan Rejab dan Ramadhan, ia merupakan bulan yang diangkat amalan ke hadrat Tuhan sekalian alam. Oleh itu, aku sangat suka agar amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.”


Justeru, orang beriman sepatutnya bersiap-sedia untuk bertemu dengan Ramadhan seawal hari pertama saat menjejak ke bulan Syaaban.

"Ya Allah! Berkatilah bagi kami Bulan Syaaban, dan sampaikan kami kepada Bulan Ramadhan."

Saya Suka!