Tuesday, March 12, 2013

Sejuta Kasih Ibunda



Ibu bapa adalah permata hati bagi setiap individu yang bergelar anak. Tanpa seorang ibu dan seorang bapa, tiadalah seorang anak. Justeru, seorang yang mempunyai jati diri cemerlang, mesti mematerikan di dalam hatinya, bahawa insan pertama yang wajib diberikan segala kebaktian adalah  ibu dan bapanya.
Ibu dan adalah insan yang bertanggungjawab menjadi perantara membawa anak kepada kehidupan dunia.
Betapa jerih dan payahnya seorang ibu, apabila mendapati dirinya hamil, dia terpaksa menanggung kesusahan demi kesusahan, samada kesusahan dari sudut fizikal mahupun kesusahan dari sudut mental.
Dari sudut fizikal, ibu akan mengalami pelbagai jenis alahan, morning sickness, rasa mual, alergi makanan, pening kepala dan pelbagai jenis rasa susah lagi. Dari sudut mental pula, ibu akan mengalami kepelbagaian gengguan emosi, yang menjadi rencah dan asam garam saat meniti perjalanan proses kehamilan.
Kemudian, ibu terpaksa menanggung beban berat kandungannya itu, yang setiap hari semakin bertambah, selama sekitar tempoh 9 bulan 10 hari.
Apabila sampai masa yang telah ditetapkan, ibu sekali lagi bertarung nyawa demi melahirkan bayi kandungannya. Jika bernasib baik, ibu akan selamat dan dapat terus hidup bersama kelahiran barunya. Namun sebaliknya, jika nasib tidak menyebelahi si ibu, dia akan gugur sebagai syahid.

Ibu, ayah, terima kasih!
Menceritakan detik-detik sukar yang terpaksa ditanggung oleh seorang ibu, Allah s.w.t mengibaratkan,

حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ
“Ibu telah mengandungkan (anak)nya dalam keadaan menanggung kelemahan demi kelemahan (bermula dari awal tempoh mengandung hingga akhir tempoh menyusukannya).”
                                                                                                                                  (Luqman: 14)

Namun, bagi seorang ibu, semua kepenatan dan kesukaran, rasa payah dan lelah akan hilang serta merta, saat si ibu melihat si kecil yang baru dilahirkannya. Tiada lagi rasa mual, morning sickness, pening kepala, rasa beban dan lain-lain perasaan sukar. Sebaliknya, perasaan yang ada ketika itu hanyalah rasa sayu, gembira dan bahagia.

 Trivia: Tahukah Saya?
"Seorang manusia normal hanya mampu menahan sehingga 45 del (unit) kesakitan. Tetapi semasa melahirkan bayi, seorang ibu merasai sehingga 57 del (unit) kesakitan. Ini sama dengan mematahkan 20 tulang secara serentak!"






Usai proses kehamilan,  si ibu sekali lagi terpaksa kembali menanggung kesusahan, lantaran perlu menyusukan bayinya demi menjamin sumber pemakanan bayi yang terbaik. Dalam proses tumbesaran bayi, Ibu juga terpaksa  menanggung beban bersengkang mata berjaga malam demi memastikan si kecil senantiasa membersar dalam keadaan selesa. Ibu juga memberikan asuhan dan pendidikan terbaik buat anaknya.
Demi kelahiran ini juga, ayah pula banyak berkorban dari sudut material dan fizikal. Ayah terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menyediakan pelbagai kelengkapan, membiayai pelbagai kos perubatan si ibu, dan pelbagai kos-kos lain.
Justeru, dengan semua yang dilakukan ini, ibu bapa sangat layak menerima penghargaan sebagai tanda terima kasih daripada seorang anak. Lantaran itu, Allah s.w.t memerintahkan,

أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ
“Bersyukurlah kepada-Ku dan (berterima kasihlah) kepada kedua ibubapamu.”
        (Luqman: 14)


Kewajiban berbuat baik terhadap ibu bapa

Menyatakan hak kedua ibu bapa yang mesti dipenuhi oleh seorang anak, Allah s.w.t memberitahu,


“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya.”
       (al-‘Ankabut: 8 dan Luqman: 14)

Allah s.w.t menegaskan lagi,

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan daku (dalam ibadatmu) Dengan sesuatu Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah Engkau taat kepada mereka. kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”   (al-‘Ankabut: 8)

Ketika membicarakan tentang sepuluh perjanjian yang diikat bersama kaum Bani Israil, Allah memerintahkan mereka dengan berkata,


“Janganlah kamu sekutukan Allah dengan sesuatu pun, dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.”    (al-An’am: 151)

Kepada Siapa Saya Harus Lebih Berbakti?

Persoalan ini senantiasa berlegar-legar di minda. Antara dua wajah insan kesayangan setiap insan, yang mana satukah lebih berhak menerima kebaktian? Ibu mengandung dan melahirkan, mendidik dan membesarkan. Ayah pula berlelah penat memerah keringat dan bekerja kuat, demi memberi sesuap rezeki, buat yang sedang sabar menanti.  Justeru, kepada siapa sepatutnya seorang anak melebihkan kebaktian?
Menjawab persoalan ini, Abu Hurairah menceritakan,

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَنْ أَحَقُّ النَّاسِ بِحُسْنِ صَحَابَتِي قَالَ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أُمُّكَ قَالَ ثُمَّ مَنْ قَالَ ثُمَّ أَبُوكَ
“Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu bertanya kepada Baginda, “Siapakah orang yang paling berhak untuk saya lakukan kebaktian buatnya?” Baginda menjawab, “Ibumu,” Lelaki itu bertanya lagi, “kemudian, siapa?” Baginda menjawab, “Ibumu,” Lelaki itu bertanya lagi, “kemudian, siapa?” Baginda menjawab, “Ibumu,” Lelaki itu bertanya lagi, “kemudian, siapa?” Baginda  menjawab, “Ayahmu.”



No comments:

Post a Comment

Semoga komentar anda memberi nilai tambah buat saya.

Saya Suka!