Showing posts with label Sejarah Islam. Show all posts
Showing posts with label Sejarah Islam. Show all posts

Sunday, January 27, 2013

Cinta Rasulullah Kepada Umatnya

Pada suatu hari, Aisyah berkata kepada suaminya, "Ya Rasulullah, doakan saya."

Justeru, Rasulullah pun menadah tangan, "Ya Allah, ampunkanlah segala dosa Aisyah, samada yang telah berlalu mahupun yang akan datang, yang terlindung mahupun yang jelas terang."

Mendengar doa Baginda, Aisyah tersenyum girang. Betapa beliau gembira, sehingga tanpa disedarinya, kepalanya telah rebah di pangkuan Rasulullah.

       "Adakah kamu gembira dengan doaku ini?"

       "Apakah ada perkara lain yang mampu membuatkan saya gembira selain doamu ini?"

Kemudian, Baginda pun memberitahu isterinya, "Demi Allah! itulah doa yang sentiasa aku doakan buat umatku setiap kali selepas solat."

"Demi Allah! itulah doa yang sentiasa aku doakan buat umatku setiap kali selepas solat."
Inilah Serban Milik Rasul Junjungan s.a.w

Abdullah bin Amru bin al-'As melaporkan, pada suatu hari, Baginda membaca ayat al-Quran tentang aduan Nabi Ibrahim a.s kepada Allah s.w.t yang bermaksud, "Wahai Tuhan, sesungguhnya mereka telah menyesatkan ramai manusia. Justeru, sesiapa yang mengikutiku, sesungguhnya dia adalah dari kalanganku..."

Kemudian, Baginda membaca pula rayuan Nabi Isa a.s kepada Allah s.w.t yang bermaksud, "Andai Engkau mengazab mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba-Mu. Andai Engkau memaafkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Justeru, Baginda pun menadah tangan ke langit, lalu berdoa, "Ya Allah! Umatku.. Umatku.. ." Tanpa diduga, air mata bercucuran membasahi pipi Baginda.

"Ya Allah! Umatku.. Umatku.. ."

Allah s.w.t mendengar rintihan Baginda. Justeru, Allah s.w.t berkata kepada Malaikat Jibril a.s, "Hai Jibril! Pergilah bertemu dengan Muhammad. Tanyakan kepadanya, padahal Tuhan-Mu lebih mengetahuinya, apakah yang menyebabkan dirinya berdukacita?"

Malaikat Jibril a.s pun turun menemui Rasulullah dan bertanya kepada Baginda sebagaimana yang diperintahkan. Lalu, Baginda s.a.w memberitahu Jibril a.s tentang kerisauannya terhadap perihal umatnya, padahal Tuhan lebih mengetahui tentang perkara tersebut.

Tatkala Malaikat Jibril a.s naik semula menghadap Allah s.w.t dan memberitahu perihal dukacita kekasih-Nya itu, Allah s.w.t pun berkata kepada Malaikat Jibril a.s, "Hai Jibril! Pergilah kamu bertemu dengan Muhammad dan beritahu kepadanya bahawa sehungguhnya Kami meredhaimu tentang urusan umatmu dan kami tidak akan menyakitimu."


Mari Memperbanyakkan Selawat Buat Rasul Junjungan
اللهم صل على محمد وعلى آله وصَحْبهِ وسلِّم

Friday, December 21, 2012

Betapa Pemurahnya Allah!

            Tahukah anda? Apabila kita melakukan kebaikan, malaikat akan menulis kebaikan tersebut di dalam buku catatan amalan kita. Kemudian, Allah Yang Maha Baik itu akan menggandakan pahala kebaikan kita dengan skala dari 10 ke 700 kali ganda.
            Sebaliknya, andai kita melakukan satu kesalahan, malaikat pencatat tidak segera menulis kesalahan kita. Betapa penyayangnya Allah kepada kita, bukan?

إن صاحب الشمال ليرفع القلم ست ساعات عن العبد المسلم المخطئ، فإن ندم واستغفر الله منها ألقاها، وإلا كتبت واحدة

“Sesungguhnya, malaikat yang berada di sebelah kiri akan mengangkat penanya (memberi tangguh) selama tempoh enam jam terhadap seorang hamba muslim yang membuat kesalahan. Jika dia menyesal dan memohon ampun kepada Allah, maka akan dilemparkan sahaja dosa tersebut (tidak menulisnya sebagai dosa). Namun, dia jika tidak berbuat demikian, maka akan ditulis sebagai satu dosa.”

Malaikat pun berebut menuntut mayatnya!

Dahulu, ada seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu yang telah membunuh seramai 99 orang. Dia mencari seseorang yang paling alim di zamannya.
Justeru, diperkenalkan kepadanya seorang pendeta. Lalu, lelaki itu pergi menemui pendeta tersebut. Katanya, “Saya telah membunuh seramai 99 orang. Apakah taubat saya masih diterima?”
Pendeta itu menjawab, “Tidak!”
Mendengar jawapan pendeta, lelaki tersebut terus membunuhnya. Oleh itu, genaplah jumlah mangsa yang dibunuh menjadi 100 orang.
Namun, tanpa berputus asa, lelaki itu terus mencari seseorang yang paling alim. Setelah diperkenalkan kepadanya seorang ulama, lelaki itu berkata kepadanya, “Saya telah membunuh seramai 100 orang. Apakah taubat saya masih diterima?”
Ulama itu menjawab, “Ya! Siapakah yang boleh menghalang anda dari bertaubat? Justeru, pergilah ke negeri si polan, kerana di sana ada ramai orang yang beribadat kepada Allah. Beribadatlah bersama mereka dan janganlah pulang semula ke negerimu ini, kerana negeri ini sangat hina.”
Mendengar keterangan dan kata-kata nasihat ulama itu, lelaki tersebut terus bergegas menuju ke tempat yang dimaksudkan. Saat dalam perjalanan, tidak semena-mena, lelaki itu meninggal dunia.
Justeru, keadaan ini menyebabkan Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab saling bertelingkah antara satu sama lain.
Kata Malaikat Rahmat, “Lelaki ini datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada Allah.”
Malaikat Azab pula menyanggah, “Lelaki ini tidak pernah melakukan sebarang kebaikan!”
Sekonyong-konyong seorang lagi malaikat datang dalam keadaan menyerupai seorang manusia. Dia cuba menghakimi kedua-dua malaikat yang bertelingkah tersebut.
Katanya, “Ukurlah jarak di antara kedua-dua tempat ini. Tempat yang paling hampir itulah tempatnya.”
Lantas, mereka mengukurnya. Kedua-dua malaikat itu mendapati bahawa ternyata mayat lelaki tersebut lebih hampir kepada negeri yang ingin ditujunya. Justeru, akhirnya mayat lelaki tersebut diambil oleh Malaikat Rahmat. (Hadith laporan Abu Said al-Khudri, rekod Imam Muslim)



Wednesday, December 5, 2012

Bertukang Manuskrip


Bismillah..

Dengan izin Allah, saya sedang menulis sebuah manuskrip berkisar tentang kisah-kisah pengislaman sahabat Rasulullah. Sepanjang pemerhatian saya, terdapat banyak kisah pengislaman Sahabat yang sudah pasti sarat dengan pengajaran. Justeru, berikut adalah butiran manuskrip yang sedang saya tukangi:


Judul
20 Kisah Keisalaman Sahabat Rasulullah s.a.w


Sinopsis

Ikuti kisah pengisalaman 20 orang sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka  adalah Salman al-Farisi r.a, al-Tufail bin ‘Amr al-Dausi r.a, ‘Abdullah bin Jahsy r.a, Zaid al-Khair r.a, Abu al-‘As bin Rabi’ al-Absyami r.a, Sa’ad bin Abi Waqas r.a, ‘Abdullah bin Mas’ud r.a, Abu Darda’ r.a, Zaid bin Sanah r.a, ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani r.a, Abu Talhah al-Ansari r.a, Adi bin Hatim r.a, Hakim bin Huzam r.a, Thumamah bin Uthaal r.a, Abu Sufyan bin Harith r.a, Usaid bin Hudhair r.a, Talhah bin ‘Ubaidillah r.a, ‘Abdullah bin Salam r.a, Wahsyi r.a, Sa’id bin ‘Amir al-Jumahi r.a. Setiap tokoh mempunyai cerita dan pengalaman yang tersendiri.



Sasaran Pembaca
  1. Saudara baru Islam:

Menceritakan kepada mereka bahawa penderitaan yang dialami oleh saudara baru adalah perkara lumrah. Justeru, penceritaan tentang penderitaan yang amat dahsyat yang dialami oleh sahabat Rasulullah sedikit sebanyak mampu memberi inspirasi kepada mereka agar terus istiqamah dalama gama Allah.

  1. Bakal saudara baru Islam dan mereka yang mula berjinak dengan Islam:
Menceritakan kepada mereka, apakah kisah disebalik pengislaman sahabat Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan kisah-kisah yang dititipkan sarat dengan hikmah dan inspirasi ini melunakkan hati mereka dan menjadi sebab turunnya hidayah Allah kepada mereka.

  1. Pembaca umum:
Menceritakan kepada umum apakah harga yang perlu dibayar oleh para sahabat dalam perjalanan mereka menjejaki hidayah. Buku ini diharap menatijahkan kesan yang baik terhadap pembaca dalam soal menjaga nikmat iman dan Islam, sekaligus mengajak para pembaca menyedari peri pentingnya menjaga iman yang kita warisi dari ibu bapa yang telah sedia menganut Islam. 


Anggaran Halaman
Sekitar 150 halaman.

Senarai Sumber Rujukan
  1. Surah Min Hayah al-Sahabah karangan Dr. ‘Abd al-Rahman Ra’fat al-Basya
  2. Sifah al-Safwah karangan Imam Ibn al-Jawzy
  3. Al-Bidayah Wa al-Nihayah karangan Ibn Kathir.

Tarikh Dijangka Terbit
Menjelang PBAKL 2013, In sya Allah!


Pada saat entri ini ditulis, proses penulisan manuskrip ini hanya berbaki 5% sahaja lagi. Selepas siap, saya perlu peram dan lakukan edit-kendiri. Kemudian, barulah boleh dihantar kepada Tuan Editor yang budiman.

Doakan saya, ya?

Sebuah manuskrip kulit dari Yaman, ukuran 18 x 13 cm: Jasa baik dari Museum Arsip Nasional Yaman

Saya Suka!