Tuesday, February 26, 2013

Menjadi Pemimpin Yang Dipimpin Allah




Pernah pada suatu ketika, Sayyidina Umar bin al-Khattab bertanya kepada para sahabatnya, “Menurut pendapat kalian, sekiranya saya telah melantik orang yang baik sebagai pemimpin yang dapat membantu, adakah saya telah berjaya melaksanakan amanah ini dengan baik?” Para sahabatnya menjawab, “Sudah tentu, wahai Amirul Mukminin.”
Namun, tanpa disangka, pendapat mereka disanggah Khalifah. Kata beliau, “Masih belum lagi, wahai sahabatku. Amanah tersebut hanya akan terlaksana dengan baik apabila saya dapat memastikan orang yang baik itu melaksanakan kebaikannya.”

Siapakah Pemimpin?
Dewasa ini, isu ketandusan pemimpin yang baik kedengaran di mana-mana. Isu ini bukan isu setempat mahupun di peringkat nasional, bahkan menjangkau menjadi isu global.
Andai ada yang bertanya, siapakah pemimpin? Maka, sudah pasti jawapannya adalah diri kita. Ya, diri kita. Kitalah pemimpin. Paling tidak pemimpin diri sendiri. Andai telah berkahwin, suami merupakan pemimpin keluarganya. Mungkin juga kita dilantik memegang jawatan kepimpinan dalam komuniti kita, samada komuniti yang kecil seperti di tempat kerja mahupun komuniti yang lebih besar seperti negara dan sebagainya.
Justeru, sangat benarlah apa yang Nabi ungkapkan tentang isu ini. Baginda bersabda dengan maksudnya, “Anda semua adalah pemimpin dan anda akan ditanya kelak tentang apa anda pimpin itu. Imam adalah pemimpin dan dia akan dipersoal mengenai kepimpinannya. Suami adalah pemimpin dan dia akan dipersoal tentang kepimpinannya. Wanita adalah pemimpin di dalam rumah suaminya dan dia akan dipersoal tentang kepimpinannya. Orang gaji juga adalah pemimpin dalam menguruskan harta tuannya dan dia akan dipersoal tentang kepimpinannya. Anda semua adalah pemimpin dan anda akan dipersoal kelak tentang kepimpinan kalian.” (Hadith rekod al-Bukhari dan Muslim)



Mencari Pemimpin Yang Baik
Namun, kadang-kala kita sering tertanya-tanya, bagaimana mahu menjadi seorang pemimpin yang baik? Apakah neraca justifikasinya? Dan siapakah pula yang boleh menjadi hakim dalam menentukan karekter seseorang pemimpin. Pelbagai soalan sebegini menghantui minda kita dalam mencari makna seorang pemimpin yang baik.
 Mendepani isu ini, mari kita kembali merujuk firman Allah di dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud, Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

Menjadi seorang pemimpin yang baik bererti kita mesti mematuhi syariat Allah. Niat yang baik merupakan langkah pertama dalam kerangka menjadi seorang muslim yang baik. Andai tidak mampu melakukan kebaikan kepada orang lain, sekurang-kurangnya pastikan diri kita melakukan kebaikan kepada diri sendiri. Katakan kepada diri sendiri, “Wahai diri, kamu adalah milik Allah dan dipinjamkan olehNya sebagai satu ujian yang bakal dipertanggungjawabkan di hari akhirat kelak! Justeru, perbanyakkan membuat kebaikan. Andai tidak mampu membantu orang lain, pastikan bantu diri sendiri agar terselamat daripada siksaan Allah yang maha dahsyat!”
Kemudian, niat yang baik tersebut diterjemahkan dalam perilaku sehari-harian. Sebagai pemimpin, diri kita sentiasa menjadi perhatian komuniti yang berada di sekeliling kita. Pemerhati sangat mengambil berat soal akhlak dan etika. Pemimpin yang paling mendapat tempat dalam masyarakat adalah seseorang yang mampu membuatkan kita kagum melihat peribadinya. Kebersihan moralnya jelas tampak bercahaya di wajah. Memandang wajahnya mampu menghilangkan rasa gundah yang selama ini menjadi bebanan dipukul saban tahun. Senyuman yang terpamer di bibir menyemarakkan lagi rasa cinta manusia kepadanya.

Pemimpin Yang Disayangi Tuhan
Lakukanlah kerja!
Itulah syarat utama yang Allah nukilkan di dalam al-Quran saat membicarakan soal tanggungjawab. Rasulullah juga menjelaskan bahawa sebaik-baik manusia adalah orang yang banyak berbuat bakti kepada orang lain.
Justeru, siapapun kita dan walau di manapun posisi kita, yang penting kita melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin. Allah menjelaskan di dalam al-Quran (maksudnya), “dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Bekerjalah! (lakukanlah segala yang diperintahkan), maka Allah dan rasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (al-Tawbah:105)


No comments:

Post a Comment

Semoga komentar anda memberi nilai tambah buat saya.

Saya Suka!