Showing posts with label Tokoh Islam. Show all posts
Showing posts with label Tokoh Islam. Show all posts

Tuesday, September 17, 2013

Alhamdulillah.. kelahiran yang dinanti telah tiba.

Bismillah..

Himpunan 10 Kisah Peng-Islaman Sahabat (1)
 
Berdiri Teguh Di Atas Meja Penulis!

Alhamdulillah. Akhirnya, penantian ini telah berakhir. Setelah sekian lama menanti, akhirnya karya saya yang pertama bersama penerbit Galeri Ilmu Media Group telah tiba di atas meja penulis. Semoga karya ini menjadi saham dakwah yang sentiasa mengalir pahalanya sehingga ke hari kebangkitan kelak, insya-Allah, amin.

Pada hari Khamis yang lalu, saya bergegas ke Astana Karya untuk mengambil naskah penulis. Sempat juga saya berbual dengan Tuan Editor, Encik Amir berkenaan beberapa isu. Namun, khabar yang paling menggembirakan ialah, insya-Allah naskah kedua, iaitu Himpunan 10 Kisah Peng-Islaman Sahabat (2) akan siap dan bakal diterbitkan menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL14) tahun hadapan. Justeru, insya-Allah, saya bakal berada di PBAKL14 bersama dua naskah ini. Doakan saya, ya?

Apa kata pembaca tentang naskah ini?


Alhamdulilah! Cikgu Rozaidi merupakan pembaca pertama karya ini. Saya mendapat maklum balas yang daripada beliau tentang karya ini. Antara individu lain yang turut memberi komentar tentang naskah ini ialah Tuan Haji Zakaria Sungib, Ketua Jabatan Novel GIMG. Kata beliau tentang naskah ini, "Alhamdulillah, kisah-kisah menarik termuat dalam buku himpunan kisah garapan ustaz. Teruskan menulis, ustaz."

Pelajar Tingkatan 5 Bersama Naskah Mereka. Moga Sukses Dalam Peperiksaan SPM, Insya-Allah!
Karya Sirah..

Selain naskah Himpunan 10 Kisah Peng-Islaman Sahabat (1), GIMG juga menerbitkan pelbagai buku dalam genre ini. Tuan Khairy Tajudin banyak menulis dalam genre ini. Dalam masa yang sama, ada lagi penulis-penulis lain seperti Tuan Zuraimi, Tuan Waqiuddin Chan, Cikpuan Mariam M.S dan ramai lagi. Andai anda berminat memiliki karya-karya tersebut, anda boleh menghubungi pihak GIMG di laman sesawang www.galeriilmu.com atau membeli terus kepada penulisnya. 

Saya boleh dihubungi di zulfaq3r_28@hotmail.com atau lawati dan like page rasmi Himpunan 10 Kisah Peng-Islaman Sahabat (1).



Salam ukhwah!
Adzhar Ibrahim.

Wednesday, December 5, 2012

Karya Pertama

Dua-tiga hari ini saya perlu bergegas menyudahkan proses penulisan manuskrip "20 Kisah Pengislaman Sahabat Rasulullah". Manuskrip ini perlu disiapkan segera agar boleh segera terbit menjelang PBAKL 2013. Sedang asyik menukang cerita, gegendang teliga mengesan bunyi 'bip' yang datang dari laman Muka Buku.

Di kaca skrin, kelihatan muncul kotak sembang. Melihat namanya, saya mula berdebar-debar. 'Seorang yang tidak asing dalam bidang penulisan sudi bertandang ke laman hamba?' hati ini tertanya-tanya.

"Assalamualaikum, Ustaz." tulisnya.

Saya menjawab dengan selamba, "Wa'alaikumussalam. ya, boleh saya bantu?" Di dalam hati, saya dapat meneka apa subjek yang bakal dibualkan. Hati dipujuk agar sedikit tenteram.

"Saya seorang editor di syarikat penerbitan A. Saya telah menerima manuskrip lengkap Tuan yang berjudul Koleksi Nama Anak itu. Insya-Allah, manuskrip ini akan diterbitkan di bawah syarikat penerbitan kami." beritahunya.

'Alhamdulillah! Terima kasih, Ya Allah,' ucapku di dalam hati. Sebenarnya, manuskrip tersebut telah lama siap ditukang. Namun, Allah belum mengizinkannya untuk lahir di pasaran. Hampir dua tahun juga saya menanti detik-detik ini. Akhirnya, Allah Yang Maha Baik itu mengizinkan juga proses penerbitannya.

Saya memberitahu editor, "Mendengar berita ini, saya dengan rendah hati mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Cikpuan dan juga pihak penerbitan."

Cikpuan editor itu memberitahu, "Saya sedang dalam proses menyemak manuskrip ini. Nanti, saya akan maklumkan perkembangannya, ya?"

"Baiklah," jawab saya ringkas. Namun, hati masih meminta bertanya, "Bilakah pihak penerbitan menjangkakan karya ini bakal terbit di pasaran?" Maklumlah, anak sulung! Mana-mana penulis pun akan teruja dan tidak sabar menanti kelahiran anak sulungnya. Bukankah begitu?

Cikpuan editor memberitahu, "Saya masih belum berani untuk berjanji, ustaz. Ada manuskrip lain yang masih menunggu giliran. Nanti saya akan berbincang dengan pemilik syarikat dahulu. Semoga Allah mudahkan."

"Baiklah. Saya akan menanti maklum balas daripada pihak Cikpuan. Insya-Allah." balas saya.

Perbualan tamat di situ. Namun, hati masih berbunga-bunga. Mana tidaknya? Dugaan melahirkan karya yang saya tukangi di bulan Ramadhan 2011 itu maha hebat. Kesannya, saya masih gigih mengahasilkan karya lain sehingga kini.

Terima kasih kepada mereka yang baik hati sudi bertungkus lumus di sebalik tabir penghasilan karya ini. Walaupun nama kalian tidak tertulis di blog ini, sudah memadai ia tertulis di dalam rekod catatan amal malaikat Raqib. Allah jua yang mampu membalas jasa baik kalian.

Moga karya ini memberi banyak manfaat kepada sesiapa yang dapat meneguk kemanisannya. Terimalah seadanya, "Koleksi Nama Anak Dari Tokoh Islam," bakal menemui anda menjelang PBAKL 2013, dengan izin Allah. Doakan karya ini senantiasa evergreen dan mendapat jualan best-seller. Amin.





Saya Suka!