Alhamdulillah, kini
kita telah melangkah masuk ke bulan Syaaban. Ini bermakna, tidak lama lagi,
kita bakal berhadapan dengan kefardhuan puasa yang mengandungi seribu satu
rahsia yang telah Allah sediakan untuk hambanya yang bertaqwa.
Ramadhan merupakan
bulan yang Rasulullah gambarkan sebagai bulan keampunan. Barangsiapa yang
menghidupkan bulan ramadhan dengan melakukan pelbagai amalan kebaikan, disulami
pula dengan pengharapan agar Allah menerima amalan tersebut, nescaya akan
diampunkan segala kesalahannya yang telah lalu. Inilah janji Nabi yang
termaktub di dalam hadith-hadith baginda.
Namun, sebelum
menjelangnya bulan keampunan tersebut, terdapat satu bulan yang tidak kurang
pentingnya kepada umat Islam. Syaaban merupakan mukaddimah kepada segala yang
baik yang ada di dalam Ramadhan.
Dialog Familiar Di
Bulan Ramadhan
Apabila menjelang
masuk ke bulan yang mulia ini, kita biasa mendengar cakap-cakap yang
mengatakan, “Mulai Ramadhan ini saya akan berubah! Saya akan mulai memperbaiki
diri. Kali ini, saya sudah tidak mahu mensia-siakan Ramadhan sebagaimana
tahun-tahun yang sudah.”
Seseorang yang lain pula bercita-cita, “Saya tidak
akan membiarkan hari-hari Ramadhan saya berlalu melainkan saya isinya dengan
amal ibadah.”
Pelbagai dialog yang
kita dengar saat menjelangnya masuk bulan Ramadhan. Itu dan ini. Namun, di
kalangan ramai orang yang berjanji ini, siapakah yang benar-benar menepati
janjinya? Andai dia benar-benar berjaya mengusahakan apa yang telah tersemat di
hatinya, maka orang itulah yang dijanjikan taqwa dan mudah-mudahan dia termasuk
dari kalangan orang yang mendapat keampunan.
Sebaliknya, jika orang
itu tersungkur dalam ujian Ramadhannya, dan dia keluar daripada madrasah
tarbiyah ini dengan sikap dan watak yang sama, ketahuilah bahawa dia sebenarnya
termasuk dalam kalangan orang yang rugi lantaran telah mensia-siakan satu bulan
yang lebih baik dan banyak ganjarannya di sisi allah daripada seribu bulan.
Syaaban Bulan
Persediaan
Setiap individu muslim
mesti bersedia dalam segenap perkara. Hari demi hari, persedian demi persediaan
dilakukan. Kita perlu menambah ilmu dan maklumat tentang kefardhuan puasa dan
kelebihan yang Allah hidangkan di dalam bulan Ramadhan. Dalam erti kata untuk
memperkasa minda, pergilah ke kuliyah-kuliyah agama dan bertanyalah kepada para
alim ulama tentang perkara yang masih tidak fahami tentang selok-belok
kefardhuan agama. Paling tidak pun, carilah bahan bacaan ilmiah yang berkaitan
sebagai rujukan sekunder selepas menghadiri kelas pengajian agama.
Kita juga perlu
mempersiapkan diri dari sudut rohani, jasmani dan mental. Rohani diperkuatkan
dengan mula melakukan banyak amal kebaikan. Ringankan tangan untuk bersedekah,
samada secara sembunyi mahupun secara terang-terangan. Sesungguhnya, amalan
sedekah itu merupakan perisai yang dapat menahan diri kita daripada menjadi
bahan bakar api neraka. Amalan sedekah juga mampu menghapus kemurkaan Tuhan ke
atas hamba-Nya. Justeru itu, gemar saya memetik kata-kata ahli hikmah berkaitan
amalan sedekah. Katanya, “Janganlah kamu letakkan hartamu di hatimu, sebaliknya
letakkan ia di atas tangnmu.”
Rohani juga dapa
diperkuatkan dengan bacaan al-Quran. Kita perju jadikan al-Quran sentiasa
dibaca bukan hanya di dalam bulan ramadhan sahaja, sebaliknya ia perlu menjadi
bahan bacaan untuk sepangjang hayat kita. Saya amat yakin, kita tidak mampu
meniru bagaimana golongan salaf terdahulu membudayakan bacaan al-Quran. Ada di
kalangan mereka yang khatam bacaannya seminggu sekali, ada yang ktaham tiga
hari sekali. Ada juga golongan soleh yang mampu menabatkan bacaan al-Qurannya
dalam tempoh masa sehari sahaja. Malah, lebih hebat lagi ada yang mampu membaca
30 juz al-Quran dalam solat qiyamullailnya. Subhanallah! Jika mahu dibandingkan
kita dengan mereka, langit dan bumi menjadi bezanya. Justeru, saya fikir,
dengan kepelbagaian komitmen yang kita pikul hari ini, bacalah paling kurang
dua helai setiap kali selepas solat, kerana ia menjadikan kita dapat
mengkhatamkan bacaan tersebut kira-kira sebulan sekali.
Unsur jasmani juga
perlu diberi penekanan. Pastikan tubuh badan kita sihat dan bersedia untuk
menjalani ibadah puasa. Kita sudah boleh mula membiasakan diri dengan amalan
puasa sunat. Amalan ini dapat membantu mana-mana individu yang mengalami sakit
gastrik agar membiasakan diri untuk berlapar. Mudah-mudahan amalan sunat ini
dapat mengelakkan pesakit gastrik ini dari mengalami perubahan situasi daripada
berkenyang-kenyangan kepada berlapar dahaga.
Ahlan Wa Sahlan Ya
Ramadhan!
Akhirnya, setelah kita
mempersiapkan diri dengan pelbagai kelengkapan diri, kita dapat melangkah masuk
ke dalam kem ramadhan dan siap sedia untuk ditarbiyah Tuhan. Apabila datangnya
hari-hari keampunan yang ada di dalam bulan ramadhan itu, kita persiapkan pula
diri dengan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menghidupkan bulan yang mulia
ini demi menggapai redha dan taqwa yang dijanjikan Allah.
Sebagai penutup,
menceritakan tentang bulan Syaaban, Rasulullah pernah berkata, “Itulah bulan
yang sering dilupakan oleh manusia, ia terletak di antara bulan Rejab dan
Ramadhan, ia merupakan bulan yang diangkat amalan ke hadrat Tuhan sekalian
alam. Oleh itu, aku sangat suka agar amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang
berpuasa.”
Justeru, orang beriman
sepatutnya bersiap-sedia untuk bertemu dengan Ramadhan seawal hari pertama saat
menjejak ke bulan Syaaban.
"Ya Allah! Berkatilah bagi kami Bulan Syaaban, dan sampaikan kami kepada Bulan Ramadhan."
.jpg)


No comments:
Post a Comment
Semoga komentar anda memberi nilai tambah buat saya.