Dua-tiga hari ini saya perlu bergegas menyudahkan proses penulisan manuskrip "20 Kisah Pengislaman Sahabat Rasulullah". Manuskrip ini perlu disiapkan segera agar boleh segera terbit menjelang PBAKL 2013. Sedang asyik menukang cerita, gegendang teliga mengesan bunyi 'bip' yang datang dari laman Muka Buku.
Di kaca skrin, kelihatan muncul kotak sembang. Melihat namanya, saya mula berdebar-debar. 'Seorang yang tidak asing dalam bidang penulisan sudi bertandang ke laman hamba?' hati ini tertanya-tanya.
"Assalamualaikum, Ustaz." tulisnya.
Saya menjawab dengan selamba, "Wa'alaikumussalam. ya, boleh saya bantu?" Di dalam hati, saya dapat meneka apa subjek yang bakal dibualkan. Hati dipujuk agar sedikit tenteram.
"Saya seorang editor di syarikat penerbitan A. Saya telah menerima manuskrip lengkap Tuan yang berjudul Koleksi Nama Anak itu. Insya-Allah, manuskrip ini akan diterbitkan di bawah syarikat penerbitan kami." beritahunya.
'Alhamdulillah! Terima kasih, Ya Allah,' ucapku di dalam hati. Sebenarnya, manuskrip tersebut telah lama siap ditukang. Namun, Allah belum mengizinkannya untuk lahir di pasaran. Hampir dua tahun juga saya menanti detik-detik ini. Akhirnya, Allah Yang Maha Baik itu mengizinkan juga proses penerbitannya.
Saya memberitahu editor, "Mendengar berita ini, saya dengan rendah hati mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Cikpuan dan juga pihak penerbitan."
Cikpuan editor itu memberitahu, "Saya sedang dalam proses menyemak manuskrip ini. Nanti, saya akan maklumkan perkembangannya, ya?"
"Baiklah," jawab saya ringkas. Namun, hati masih meminta bertanya, "Bilakah pihak penerbitan menjangkakan karya ini bakal terbit di pasaran?" Maklumlah, anak sulung! Mana-mana penulis pun akan teruja dan tidak sabar menanti kelahiran anak sulungnya. Bukankah begitu?
Cikpuan editor memberitahu, "Saya masih belum berani untuk berjanji, ustaz. Ada manuskrip lain yang masih menunggu giliran. Nanti saya akan berbincang dengan pemilik syarikat dahulu. Semoga Allah mudahkan."
"Baiklah. Saya akan menanti maklum balas daripada pihak Cikpuan. Insya-Allah." balas saya.
Perbualan tamat di situ. Namun, hati masih berbunga-bunga. Mana tidaknya? Dugaan melahirkan karya yang saya tukangi di bulan Ramadhan 2011 itu maha hebat. Kesannya, saya masih gigih mengahasilkan karya lain sehingga kini.
Terima kasih kepada mereka yang baik hati sudi bertungkus lumus di sebalik tabir penghasilan karya ini. Walaupun nama kalian tidak tertulis di blog ini, sudah memadai ia tertulis di dalam rekod catatan amal malaikat Raqib. Allah jua yang mampu membalas jasa baik kalian.
Moga karya ini memberi banyak manfaat kepada sesiapa yang dapat meneguk kemanisannya. Terimalah seadanya, "Koleksi Nama Anak Dari Tokoh Islam," bakal menemui anda menjelang PBAKL 2013, dengan izin Allah. Doakan karya ini senantiasa evergreen dan mendapat jualan best-seller. Amin.

No comments:
Post a Comment
Semoga komentar anda memberi nilai tambah buat saya.