Tahukah anda? Apabila kita melakukan
kebaikan, malaikat akan menulis kebaikan tersebut di dalam buku
catatan amalan kita. Kemudian, Allah Yang Maha Baik itu akan
menggandakan pahala kebaikan kita dengan skala dari 10 ke 700 kali ganda.
Sebaliknya, andai kita melakukan
satu kesalahan, malaikat pencatat tidak segera menulis kesalahan kita. Betapa
penyayangnya Allah kepada kita, bukan?
إن
صاحب الشمال ليرفع القلم ست ساعات عن العبد المسلم المخطئ، فإن ندم واستغفر الله
منها ألقاها، وإلا كتبت واحدة
“Sesungguhnya, malaikat yang berada di sebelah kiri akan mengangkat penanya (memberi tangguh) selama tempoh enam jam terhadap seorang hamba muslim yang membuat kesalahan. Jika dia menyesal dan memohon ampun kepada Allah, maka akan dilemparkan sahaja dosa tersebut (tidak menulisnya sebagai dosa). Namun, dia jika tidak berbuat demikian, maka akan ditulis sebagai satu dosa.”
Malaikat
pun berebut menuntut mayatnya!
Dahulu, ada seorang lelaki
dari kalangan umat sebelum kamu yang telah membunuh seramai 99 orang. Dia
mencari seseorang yang paling alim di zamannya.
Justeru, diperkenalkan
kepadanya seorang pendeta. Lalu, lelaki itu pergi menemui pendeta tersebut.
Katanya, “Saya telah membunuh seramai 99 orang. Apakah taubat saya masih
diterima?”
Pendeta itu menjawab,
“Tidak!”
Mendengar jawapan pendeta,
lelaki tersebut terus membunuhnya. Oleh itu, genaplah jumlah mangsa yang
dibunuh menjadi 100 orang.
Namun, tanpa berputus asa,
lelaki itu terus mencari seseorang yang paling alim. Setelah diperkenalkan
kepadanya seorang ulama, lelaki itu berkata kepadanya, “Saya telah membunuh
seramai 100 orang. Apakah taubat saya masih diterima?”
Ulama itu menjawab, “Ya!
Siapakah yang boleh menghalang anda dari bertaubat? Justeru, pergilah ke negeri
si polan, kerana di sana ada ramai orang yang beribadat kepada Allah.
Beribadatlah bersama mereka dan janganlah pulang semula ke negerimu ini, kerana
negeri ini sangat hina.”
Mendengar keterangan dan
kata-kata nasihat ulama itu, lelaki tersebut terus bergegas menuju ke tempat
yang dimaksudkan. Saat dalam perjalanan, tidak semena-mena, lelaki itu meninggal
dunia.
Justeru, keadaan ini
menyebabkan Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab saling bertelingkah antara satu
sama lain.
Kata Malaikat Rahmat, “Lelaki
ini datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada Allah.”
Malaikat Azab pula
menyanggah, “Lelaki ini tidak pernah melakukan sebarang kebaikan!”
Sekonyong-konyong seorang
lagi malaikat datang dalam keadaan menyerupai seorang manusia. Dia cuba
menghakimi kedua-dua malaikat yang bertelingkah tersebut.
Katanya, “Ukurlah jarak di
antara kedua-dua tempat ini. Tempat yang paling hampir itulah tempatnya.”
Lantas, mereka mengukurnya.
Kedua-dua malaikat itu mendapati bahawa ternyata mayat lelaki tersebut lebih
hampir kepada negeri yang ingin ditujunya. Justeru, akhirnya mayat lelaki
tersebut diambil oleh Malaikat Rahmat. (Hadith laporan Abu Said al-Khudri,
rekod Imam Muslim)

No comments:
Post a Comment
Semoga komentar anda memberi nilai tambah buat saya.