Pernah pada suatu ketika, Sayyidina
Umar bin al-Khattab bertanya kepada para sahabatnya, “Menurut pendapat kalian,
sekiranya saya telah melantik orang yang baik sebagai pemimpin yang dapat
membantu, adakah saya telah berjaya melaksanakan amanah ini dengan baik?” Para
sahabatnya menjawab, “Sudah tentu, wahai Amirul Mukminin.”
Namun, tanpa disangka, pendapat mereka
disanggah Khalifah. Kata beliau, “Masih belum lagi, wahai sahabatku. Amanah
tersebut hanya akan terlaksana dengan baik apabila saya dapat memastikan orang
yang baik itu melaksanakan kebaikannya.”
Siapakah Pemimpin?
Dewasa ini, isu ketandusan pemimpin
yang baik kedengaran di mana-mana. Isu ini bukan isu setempat mahupun di
peringkat nasional, bahkan menjangkau menjadi isu global.
Andai ada yang bertanya, siapakah
pemimpin? Maka, sudah pasti jawapannya adalah diri kita. Ya, diri kita. Kitalah
pemimpin. Paling tidak pemimpin diri sendiri. Andai telah berkahwin, suami
merupakan pemimpin keluarganya. Mungkin juga kita dilantik memegang jawatan
kepimpinan dalam komuniti kita, samada komuniti yang kecil seperti di tempat
kerja mahupun komuniti yang lebih besar seperti negara dan sebagainya.
Justeru, sangat benarlah apa yang Nabi
ungkapkan tentang isu ini. Baginda bersabda dengan maksudnya, “Anda semua
adalah pemimpin dan anda akan ditanya kelak tentang apa anda pimpin itu. Imam
adalah pemimpin dan dia akan dipersoal mengenai kepimpinannya. Suami adalah
pemimpin dan dia akan dipersoal tentang kepimpinannya. Wanita adalah pemimpin
di dalam rumah suaminya dan dia akan dipersoal tentang kepimpinannya. Orang
gaji juga adalah pemimpin dalam menguruskan harta tuannya dan dia akan
dipersoal tentang kepimpinannya. Anda semua adalah pemimpin dan anda akan
dipersoal kelak tentang kepimpinan kalian.” (Hadith rekod al-Bukhari dan
Muslim)
Mencari Pemimpin Yang Baik
Namun, kadang-kala kita sering
tertanya-tanya, bagaimana mahu menjadi seorang pemimpin yang baik? Apakah
neraca justifikasinya? Dan siapakah pula yang boleh menjadi hakim dalam
menentukan karekter seseorang pemimpin. Pelbagai soalan sebegini menghantui
minda kita dalam mencari makna seorang pemimpin yang baik.
Mendepani isu ini, mari kita kembali merujuk
firman Allah di dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud, “Kamu (Wahai
umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat
manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang
daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman
kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”
Menjadi seorang pemimpin yang baik
bererti kita mesti mematuhi syariat Allah. Niat yang baik merupakan langkah
pertama dalam kerangka menjadi seorang muslim yang baik. Andai tidak mampu
melakukan kebaikan kepada orang lain, sekurang-kurangnya pastikan diri kita
melakukan kebaikan kepada diri sendiri. Katakan kepada diri sendiri, “Wahai
diri, kamu adalah milik Allah dan dipinjamkan olehNya sebagai satu ujian yang
bakal dipertanggungjawabkan di hari akhirat kelak! Justeru, perbanyakkan
membuat kebaikan. Andai tidak mampu membantu orang lain, pastikan bantu diri
sendiri agar terselamat daripada siksaan Allah yang maha dahsyat!”
Kemudian, niat yang baik tersebut
diterjemahkan dalam perilaku sehari-harian. Sebagai pemimpin, diri kita sentiasa
menjadi perhatian komuniti yang berada di sekeliling kita. Pemerhati sangat
mengambil berat soal akhlak dan etika. Pemimpin yang paling mendapat tempat
dalam masyarakat adalah seseorang yang mampu membuatkan kita kagum melihat
peribadinya. Kebersihan moralnya jelas tampak bercahaya di wajah. Memandang
wajahnya mampu menghilangkan rasa gundah yang selama ini menjadi bebanan
dipukul saban tahun. Senyuman yang terpamer di bibir menyemarakkan lagi rasa
cinta manusia kepadanya.
Pemimpin Yang Disayangi Tuhan
Lakukanlah kerja!
Itulah syarat utama
yang Allah nukilkan di dalam al-Quran saat membicarakan soal tanggungjawab. Rasulullah
juga menjelaskan bahawa sebaik-baik manusia adalah orang yang banyak berbuat
bakti kepada orang lain.
Justeru, siapapun kita dan walau di
manapun posisi kita, yang penting kita melaksanakan tanggungjawab yang
diamanahkan dengan sebaik mungkin. Allah menjelaskan di dalam al-Quran
(maksudnya), “dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Bekerjalah! (lakukanlah segala
yang diperintahkan), maka Allah dan rasulNya serta orang-orang yang beriman
akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (allah)
yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian ia
menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (al-Tawbah:105)



