Wednesday, June 19, 2013

Memperkasa Jiwa Menjelang Bulan Mulia


Alhamdulillah, kini kita telah melangkah masuk ke bulan Syaaban. Ini bermakna, tidak lama lagi, kita bakal berhadapan dengan kefardhuan puasa yang mengandungi seribu satu rahsia yang telah Allah sediakan untuk hambanya yang bertaqwa.

Ramadhan merupakan bulan yang Rasulullah gambarkan sebagai bulan keampunan. Barangsiapa yang menghidupkan bulan ramadhan dengan melakukan pelbagai amalan kebaikan, disulami pula dengan pengharapan agar Allah menerima amalan tersebut, nescaya akan diampunkan segala kesalahannya yang telah lalu. Inilah janji Nabi yang termaktub di dalam hadith-hadith baginda.

Namun, sebelum menjelangnya bulan keampunan tersebut, terdapat satu bulan yang tidak kurang pentingnya kepada umat Islam. Syaaban merupakan mukaddimah kepada segala yang baik yang ada di dalam Ramadhan.




Dialog Familiar Di Bulan Ramadhan
Apabila menjelang masuk ke bulan yang mulia ini, kita biasa mendengar cakap-cakap yang mengatakan, “Mulai Ramadhan ini saya akan berubah! Saya akan mulai memperbaiki diri. Kali ini, saya sudah tidak mahu mensia-siakan Ramadhan sebagaimana tahun-tahun yang sudah.” 

Seseorang yang lain pula bercita-cita, “Saya tidak akan membiarkan hari-hari Ramadhan saya berlalu melainkan saya isinya dengan amal ibadah.”

Pelbagai dialog yang kita dengar saat menjelangnya masuk bulan Ramadhan. Itu dan ini. Namun, di kalangan ramai orang yang berjanji ini, siapakah yang benar-benar menepati janjinya? Andai dia benar-benar berjaya mengusahakan apa yang telah tersemat di hatinya, maka orang itulah yang dijanjikan taqwa dan mudah-mudahan dia termasuk dari kalangan orang yang mendapat keampunan.

Sebaliknya, jika orang itu tersungkur dalam ujian Ramadhannya, dan dia keluar daripada madrasah tarbiyah ini dengan sikap dan watak yang sama, ketahuilah bahawa dia sebenarnya termasuk dalam kalangan orang yang rugi lantaran telah mensia-siakan satu bulan yang lebih baik dan banyak ganjarannya di sisi allah daripada seribu bulan.


Syaaban Bulan Persediaan
Setiap individu muslim mesti bersedia dalam segenap perkara. Hari demi hari, persedian demi persediaan dilakukan. Kita perlu menambah ilmu dan maklumat tentang kefardhuan puasa dan kelebihan yang Allah hidangkan di dalam bulan Ramadhan. Dalam erti kata untuk memperkasa minda, pergilah ke kuliyah-kuliyah agama dan bertanyalah kepada para alim ulama tentang perkara yang masih tidak fahami tentang selok-belok kefardhuan agama. Paling tidak pun, carilah bahan bacaan ilmiah yang berkaitan sebagai rujukan sekunder selepas menghadiri kelas pengajian agama.

Kita juga perlu mempersiapkan diri dari sudut rohani, jasmani dan mental. Rohani diperkuatkan dengan mula melakukan banyak amal kebaikan. Ringankan tangan untuk bersedekah, samada secara sembunyi mahupun secara terang-terangan. Sesungguhnya, amalan sedekah itu merupakan perisai yang dapat menahan diri kita daripada menjadi bahan bakar api neraka. Amalan sedekah juga mampu menghapus kemurkaan Tuhan ke atas hamba-Nya. Justeru itu, gemar saya memetik kata-kata ahli hikmah berkaitan amalan sedekah. Katanya, “Janganlah kamu letakkan hartamu di hatimu, sebaliknya letakkan ia di atas tangnmu.”

Rohani juga dapa diperkuatkan dengan bacaan al-Quran. Kita perju jadikan al-Quran sentiasa dibaca bukan hanya di dalam bulan ramadhan sahaja, sebaliknya ia perlu menjadi bahan bacaan untuk sepangjang hayat kita. Saya amat yakin, kita tidak mampu meniru bagaimana golongan salaf terdahulu membudayakan bacaan al-Quran. Ada di kalangan mereka yang khatam bacaannya seminggu sekali, ada yang ktaham tiga hari sekali. Ada juga golongan soleh yang mampu menabatkan bacaan al-Qurannya dalam tempoh masa sehari sahaja. Malah, lebih hebat lagi ada yang mampu membaca 30 juz al-Quran dalam solat qiyamullailnya. Subhanallah! Jika mahu dibandingkan kita dengan mereka, langit dan bumi menjadi bezanya. Justeru, saya fikir, dengan kepelbagaian komitmen yang kita pikul hari ini, bacalah paling kurang dua helai setiap kali selepas solat, kerana ia menjadikan kita dapat mengkhatamkan bacaan tersebut kira-kira sebulan sekali.

Unsur jasmani juga perlu diberi penekanan. Pastikan tubuh badan kita sihat dan bersedia untuk menjalani ibadah puasa. Kita sudah boleh mula membiasakan diri dengan amalan puasa sunat. Amalan ini dapat membantu mana-mana individu yang mengalami sakit gastrik agar membiasakan diri untuk berlapar. Mudah-mudahan amalan sunat ini dapat mengelakkan pesakit gastrik ini dari mengalami perubahan situasi daripada berkenyang-kenyangan kepada berlapar dahaga.



Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan!
Akhirnya, setelah kita mempersiapkan diri dengan pelbagai kelengkapan diri, kita dapat melangkah masuk ke dalam kem ramadhan dan siap sedia untuk ditarbiyah Tuhan. Apabila datangnya hari-hari keampunan yang ada di dalam bulan ramadhan itu, kita persiapkan pula diri dengan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menghidupkan bulan yang mulia ini demi menggapai redha dan taqwa yang dijanjikan Allah.

Sebagai penutup, menceritakan tentang bulan Syaaban, Rasulullah pernah berkata, “Itulah bulan yang sering dilupakan oleh manusia, ia terletak di antara bulan Rejab dan Ramadhan, ia merupakan bulan yang diangkat amalan ke hadrat Tuhan sekalian alam. Oleh itu, aku sangat suka agar amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa.”


Justeru, orang beriman sepatutnya bersiap-sedia untuk bertemu dengan Ramadhan seawal hari pertama saat menjejak ke bulan Syaaban.

"Ya Allah! Berkatilah bagi kami Bulan Syaaban, dan sampaikan kami kepada Bulan Ramadhan."

Saya Suka!