Friday, December 21, 2012

Betapa Pemurahnya Allah!

            Tahukah anda? Apabila kita melakukan kebaikan, malaikat akan menulis kebaikan tersebut di dalam buku catatan amalan kita. Kemudian, Allah Yang Maha Baik itu akan menggandakan pahala kebaikan kita dengan skala dari 10 ke 700 kali ganda.
            Sebaliknya, andai kita melakukan satu kesalahan, malaikat pencatat tidak segera menulis kesalahan kita. Betapa penyayangnya Allah kepada kita, bukan?

إن صاحب الشمال ليرفع القلم ست ساعات عن العبد المسلم المخطئ، فإن ندم واستغفر الله منها ألقاها، وإلا كتبت واحدة

“Sesungguhnya, malaikat yang berada di sebelah kiri akan mengangkat penanya (memberi tangguh) selama tempoh enam jam terhadap seorang hamba muslim yang membuat kesalahan. Jika dia menyesal dan memohon ampun kepada Allah, maka akan dilemparkan sahaja dosa tersebut (tidak menulisnya sebagai dosa). Namun, dia jika tidak berbuat demikian, maka akan ditulis sebagai satu dosa.”

Malaikat pun berebut menuntut mayatnya!

Dahulu, ada seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu yang telah membunuh seramai 99 orang. Dia mencari seseorang yang paling alim di zamannya.
Justeru, diperkenalkan kepadanya seorang pendeta. Lalu, lelaki itu pergi menemui pendeta tersebut. Katanya, “Saya telah membunuh seramai 99 orang. Apakah taubat saya masih diterima?”
Pendeta itu menjawab, “Tidak!”
Mendengar jawapan pendeta, lelaki tersebut terus membunuhnya. Oleh itu, genaplah jumlah mangsa yang dibunuh menjadi 100 orang.
Namun, tanpa berputus asa, lelaki itu terus mencari seseorang yang paling alim. Setelah diperkenalkan kepadanya seorang ulama, lelaki itu berkata kepadanya, “Saya telah membunuh seramai 100 orang. Apakah taubat saya masih diterima?”
Ulama itu menjawab, “Ya! Siapakah yang boleh menghalang anda dari bertaubat? Justeru, pergilah ke negeri si polan, kerana di sana ada ramai orang yang beribadat kepada Allah. Beribadatlah bersama mereka dan janganlah pulang semula ke negerimu ini, kerana negeri ini sangat hina.”
Mendengar keterangan dan kata-kata nasihat ulama itu, lelaki tersebut terus bergegas menuju ke tempat yang dimaksudkan. Saat dalam perjalanan, tidak semena-mena, lelaki itu meninggal dunia.
Justeru, keadaan ini menyebabkan Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab saling bertelingkah antara satu sama lain.
Kata Malaikat Rahmat, “Lelaki ini datang dalam keadaan bertaubat dan menghadapkan hatinya kepada Allah.”
Malaikat Azab pula menyanggah, “Lelaki ini tidak pernah melakukan sebarang kebaikan!”
Sekonyong-konyong seorang lagi malaikat datang dalam keadaan menyerupai seorang manusia. Dia cuba menghakimi kedua-dua malaikat yang bertelingkah tersebut.
Katanya, “Ukurlah jarak di antara kedua-dua tempat ini. Tempat yang paling hampir itulah tempatnya.”
Lantas, mereka mengukurnya. Kedua-dua malaikat itu mendapati bahawa ternyata mayat lelaki tersebut lebih hampir kepada negeri yang ingin ditujunya. Justeru, akhirnya mayat lelaki tersebut diambil oleh Malaikat Rahmat. (Hadith laporan Abu Said al-Khudri, rekod Imam Muslim)



Saturday, December 15, 2012

Menulis Memandaikan Umat!

Bismillah...

Dua minggu yang lalu, saya telah menghantar satu proposal kepada sebuah syarikat penerbitan. Dalam masa yang sama, saat itu, saya masih sibuk menguruskan manuskrip '20 Kisah Pengislaman Sahabat Rasulullah'. 

Usai bertungkus lumus sekitar 3 bulan, akhirnya pada tanggal 12.12.12, saya berhasil mengirimkan manuskrip penuh tersebut kepada editor. Syukurlah! Sekurang-kurangnya, pada tarikh cantik yang datang hanya 100 tahun sekali itu, saya ada memori indah menyempurnakan penulisan sebuah manuskrip. 

Kini, tumpuan diberikan kepada satu projek yang baharu pula. Sebenarnya, projek penulisan yang diusulkan ini telah berjalan sekitar 40%. Saya telah usahakannya pada tahun 2011. Namun, proses penulisannya terhenti di pertengahan jalan. Sedih bukan?

Setelah berlalu tempoh setahun, ternyata Allah menghendaki sesuatu yang lain buat kita. Selang seminggu selepas mengirim proposal, editor memberitahu saya menerusi emel, bahawa syarikat penerbitan mereka sudi untuk menerima manuskrip penuh karya ini. Syukurlah.

“Saat kau tidak mengerti maksud Tuhan, cubalah memilih untuk percaya. Saat kau tertekan penuh kekecewaan, cubalah memilih untuk bersyukur.
Saat rencana hidupmu tidak berjalan dengan sempuna, cubalah memilih untuk berserah, bukan menyerah.
Saat putus asa melingkupimu, cubalah memilih tetap maju dan berjalan bersama Allah s.w.t.”



Saya perlu menyerahkan manuskrip penuh pada penghujung bulan Disember 2012. Semoga karya ini bakal menemui insan-insan super di luar sana menjelang PBAKL 2013, dengan izin Allah!

Allah sayang anda! :)

Sunday, December 9, 2012

Misi Mengedit Manuskrip

Alhamdulillah...

Manuskrip 20 Kisah Pengislaman Sahabat Rasulullah s.a.w telah berjaya saya sempurnakan proses penulisannya.

Justeru, kini masa untuk memeram dan membuat self-editting. Dalam masa yang sama, saya perlu menyiapkan bapa elemen buku yang lain, seperti prakata, dedikasi, glosari dan bibliografi.

Pengalaman ini memberitahu, bukan senang nak jadi seorang penulis sebenarnya. Namun, segala penat lelah akan terbayar saat melihat manusia diluar sana mendapat manafaat yang banyak hasil pembacaan mereka. 

Melihat karya kita terpamer di rak-rak di kedai buku juga membuatkan kita tersenyum. Tak perlu kedai buku Popular, MPH atau Kinokuniya, di kedai Jaseema pun dah cukup.

Hari ini, dari pagi hingga ke malam, saya menghabiskan banyak masa untuk mengedit manuskrip. Seingat saya, dari lepas subuh sampai sekitar jam 11 pagi, saya hanya mampu menyudahkan sekitar hanya 60 halaman sahaja. 

Merasai sendiri pengalaman ini mambuatkan saya insaf, betapa, editorlah sebenarnya tulang belakang dalam menghasilkan karya yang hebat. Mungkin boleh dikatakan, di sebalik karya yang hebat, berdirinya seorang editor yang hebat!

Sehingga entri ini ditulis, saya dapat mengedit sebanyak 130 halaman sahaja. Mudah-mudahan, esok saya mampu menghabiskan bakinya yang sebanyak 150 halaman lagi itu. Semoga Allah mempermudahkan urusan ini.

Minggu depan, mahu berbicara pasal manuskrip baharu pula. insya-Allah.




Wednesday, December 5, 2012

Bertukang Manuskrip


Bismillah..

Dengan izin Allah, saya sedang menulis sebuah manuskrip berkisar tentang kisah-kisah pengislaman sahabat Rasulullah. Sepanjang pemerhatian saya, terdapat banyak kisah pengislaman Sahabat yang sudah pasti sarat dengan pengajaran. Justeru, berikut adalah butiran manuskrip yang sedang saya tukangi:


Judul
20 Kisah Keisalaman Sahabat Rasulullah s.a.w


Sinopsis

Ikuti kisah pengisalaman 20 orang sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka  adalah Salman al-Farisi r.a, al-Tufail bin ‘Amr al-Dausi r.a, ‘Abdullah bin Jahsy r.a, Zaid al-Khair r.a, Abu al-‘As bin Rabi’ al-Absyami r.a, Sa’ad bin Abi Waqas r.a, ‘Abdullah bin Mas’ud r.a, Abu Darda’ r.a, Zaid bin Sanah r.a, ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani r.a, Abu Talhah al-Ansari r.a, Adi bin Hatim r.a, Hakim bin Huzam r.a, Thumamah bin Uthaal r.a, Abu Sufyan bin Harith r.a, Usaid bin Hudhair r.a, Talhah bin ‘Ubaidillah r.a, ‘Abdullah bin Salam r.a, Wahsyi r.a, Sa’id bin ‘Amir al-Jumahi r.a. Setiap tokoh mempunyai cerita dan pengalaman yang tersendiri.



Sasaran Pembaca
  1. Saudara baru Islam:

Menceritakan kepada mereka bahawa penderitaan yang dialami oleh saudara baru adalah perkara lumrah. Justeru, penceritaan tentang penderitaan yang amat dahsyat yang dialami oleh sahabat Rasulullah sedikit sebanyak mampu memberi inspirasi kepada mereka agar terus istiqamah dalama gama Allah.

  1. Bakal saudara baru Islam dan mereka yang mula berjinak dengan Islam:
Menceritakan kepada mereka, apakah kisah disebalik pengislaman sahabat Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan kisah-kisah yang dititipkan sarat dengan hikmah dan inspirasi ini melunakkan hati mereka dan menjadi sebab turunnya hidayah Allah kepada mereka.

  1. Pembaca umum:
Menceritakan kepada umum apakah harga yang perlu dibayar oleh para sahabat dalam perjalanan mereka menjejaki hidayah. Buku ini diharap menatijahkan kesan yang baik terhadap pembaca dalam soal menjaga nikmat iman dan Islam, sekaligus mengajak para pembaca menyedari peri pentingnya menjaga iman yang kita warisi dari ibu bapa yang telah sedia menganut Islam. 


Anggaran Halaman
Sekitar 150 halaman.

Senarai Sumber Rujukan
  1. Surah Min Hayah al-Sahabah karangan Dr. ‘Abd al-Rahman Ra’fat al-Basya
  2. Sifah al-Safwah karangan Imam Ibn al-Jawzy
  3. Al-Bidayah Wa al-Nihayah karangan Ibn Kathir.

Tarikh Dijangka Terbit
Menjelang PBAKL 2013, In sya Allah!


Pada saat entri ini ditulis, proses penulisan manuskrip ini hanya berbaki 5% sahaja lagi. Selepas siap, saya perlu peram dan lakukan edit-kendiri. Kemudian, barulah boleh dihantar kepada Tuan Editor yang budiman.

Doakan saya, ya?

Sebuah manuskrip kulit dari Yaman, ukuran 18 x 13 cm: Jasa baik dari Museum Arsip Nasional Yaman

Karya Pertama

Dua-tiga hari ini saya perlu bergegas menyudahkan proses penulisan manuskrip "20 Kisah Pengislaman Sahabat Rasulullah". Manuskrip ini perlu disiapkan segera agar boleh segera terbit menjelang PBAKL 2013. Sedang asyik menukang cerita, gegendang teliga mengesan bunyi 'bip' yang datang dari laman Muka Buku.

Di kaca skrin, kelihatan muncul kotak sembang. Melihat namanya, saya mula berdebar-debar. 'Seorang yang tidak asing dalam bidang penulisan sudi bertandang ke laman hamba?' hati ini tertanya-tanya.

"Assalamualaikum, Ustaz." tulisnya.

Saya menjawab dengan selamba, "Wa'alaikumussalam. ya, boleh saya bantu?" Di dalam hati, saya dapat meneka apa subjek yang bakal dibualkan. Hati dipujuk agar sedikit tenteram.

"Saya seorang editor di syarikat penerbitan A. Saya telah menerima manuskrip lengkap Tuan yang berjudul Koleksi Nama Anak itu. Insya-Allah, manuskrip ini akan diterbitkan di bawah syarikat penerbitan kami." beritahunya.

'Alhamdulillah! Terima kasih, Ya Allah,' ucapku di dalam hati. Sebenarnya, manuskrip tersebut telah lama siap ditukang. Namun, Allah belum mengizinkannya untuk lahir di pasaran. Hampir dua tahun juga saya menanti detik-detik ini. Akhirnya, Allah Yang Maha Baik itu mengizinkan juga proses penerbitannya.

Saya memberitahu editor, "Mendengar berita ini, saya dengan rendah hati mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Cikpuan dan juga pihak penerbitan."

Cikpuan editor itu memberitahu, "Saya sedang dalam proses menyemak manuskrip ini. Nanti, saya akan maklumkan perkembangannya, ya?"

"Baiklah," jawab saya ringkas. Namun, hati masih meminta bertanya, "Bilakah pihak penerbitan menjangkakan karya ini bakal terbit di pasaran?" Maklumlah, anak sulung! Mana-mana penulis pun akan teruja dan tidak sabar menanti kelahiran anak sulungnya. Bukankah begitu?

Cikpuan editor memberitahu, "Saya masih belum berani untuk berjanji, ustaz. Ada manuskrip lain yang masih menunggu giliran. Nanti saya akan berbincang dengan pemilik syarikat dahulu. Semoga Allah mudahkan."

"Baiklah. Saya akan menanti maklum balas daripada pihak Cikpuan. Insya-Allah." balas saya.

Perbualan tamat di situ. Namun, hati masih berbunga-bunga. Mana tidaknya? Dugaan melahirkan karya yang saya tukangi di bulan Ramadhan 2011 itu maha hebat. Kesannya, saya masih gigih mengahasilkan karya lain sehingga kini.

Terima kasih kepada mereka yang baik hati sudi bertungkus lumus di sebalik tabir penghasilan karya ini. Walaupun nama kalian tidak tertulis di blog ini, sudah memadai ia tertulis di dalam rekod catatan amal malaikat Raqib. Allah jua yang mampu membalas jasa baik kalian.

Moga karya ini memberi banyak manfaat kepada sesiapa yang dapat meneguk kemanisannya. Terimalah seadanya, "Koleksi Nama Anak Dari Tokoh Islam," bakal menemui anda menjelang PBAKL 2013, dengan izin Allah. Doakan karya ini senantiasa evergreen dan mendapat jualan best-seller. Amin.





Saya Suka!